MUKESH Ambani. FOTO fail Reuters
MUKESH Ambani. FOTO fail Reuters
AFP

New Delhi: Lelaki terkaya India memulakan majlis praperkahwinan untuk anaknya dengan memberi makan kepada lebih 50,000 orang di kampung halamannya, dengan perayaan beberapa hari bermula Rabu lalu.

Majlis perkahwinan itu juga bakal dihadiri beberapa tokoh paling berpengaruh di dunia.

Ketua eksekutif teknologi global, industri besar, bintang Bollywood, ikon pop dan ahli politik dijangka hadir pada Jumaat untuk sambutan utama selama tiga hari yang dianjurkan oleh bilionair, Mukesh Ambani.

Ambani, 66, yang juga pengerusi syarikat minyak dan telekomunikasi Reliance Industries, adalah orang terkaya di Asia menurut senarai jutawan semasa Forbes, dengan harta kekayaan bernilai lebih AS$114 bilion (kira-kira RM540 bilion).

Pada petang Rabu lalu, Ambani dan isteri Nita bersama anak lelaki mereka Anant dan tunangnya, Radhika Merchant mengadakan jamuan tiga hari untuk penduduk kampung di Perbandaran Reliance di bandar tempatnya berasal iaitu Jamnagar, di negeri Gujarat, barat India.

Anant, 28, yang juga berkhidmat sebagai pengarah dalam lembaga pengarah beberapa firma milik Reliance, dijangka berkahwin dengan Merchant, 29.

Ambani mengadakan perkahwinan paling mahal di India untuk anak perempuannya pada 2018 yang dilaporkan menelan belanja AS$100 juta (kira-kira RM473 juta) dan ia menyaksikan bintang pop terkenal Amerika Syarikat (AS), Beyonce, tampil membuat persembahan.

Bagi perkahwinan anak lelakinya kali ini, bintang R&B, Rihanna, ahli silap mata David Blaine dan Diljit Dosanjh dari Bollywood akan membuat persembahan untuk tetamu.

Tetamu lain yang dijangka hadir termasuklah pengasas Microsoft, Bill Gates; ketua Meta, Mark Zuckerberg, dan beberapa pemimpin politik semasa dan bekas, menurut senarai yang dikeluarkan oleh Reliance.

Antara tetamu lain yang dijemput ialah ketua Disney, Robert Iger, berikutan perjanjian yang dipersetujui pada 28 Februari antara Reliance Industries dan Walt Disney untuk penggabungan perniagaan media mereka di India.

Turut tersenarai sebagai tetamu ialah anak perempuan bekas presiden AS, Donald Trump iaitu Ivanka Trump; bekas perdana menteri Sweden, Carl Bildt; bekas perdana menteri Kanada, Stephen Harper dan Raja Bhutan.

Bintang Bollywood, Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan; ikon kriket, Sachin Tendulkar dan MS Dhoni, dan hartawan industri, Gautam Adani turut dijemput dalam majlis berkenaan.

Perayaan utama yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mac, akan mempunyai tema, acara dan kod pakaian yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 10:42 AM