MOHD Roimran memberi bantuan kepada lelaki datang berjalan kaki ke gerainya dari Beranang. Gambar kanan, Mohd Roimran. FOTO Ihsan Mohd Roimran Md Jalaluddin
MOHD Roimran memberi bantuan kepada lelaki datang berjalan kaki ke gerainya dari Beranang. Gambar kanan, Mohd Roimran. FOTO Ihsan Mohd Roimran Md Jalaluddin
Redzuan Muharam


Beranang: Lelaki yang tular di laman sosial kerana berjalan kaki dari rumahnya di Kuala Pajam, di sini ke Taman Jasmin, Kajang beberapa hari lalu sudah bekerja sambilan sebagai tukang masak di sebuah restoran dekat Bangi, Selangor.

Dia yang mahu dikenali sebagai Rashid berkata, kehidupannya kini bertambah baik kerana ramai tampil membantu selepas kisahya tular di laman sosial.

Rashid juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan meringankan bebannya.

"Saya sudah cukup keperluan sekeluarga dan banyak pihak yang datang bantu.

"Saya pun sudah mula bekerja," katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp dan enggan bercerita lanjut buat masa ini walaupun ada bermacam andaian dibuat berhubung statusnya.

Sementara itu, pemilik gerai Nasi Kukus Kak Chiq, Mohd Roimran Md Jalaluddin, 34, yang memuat naik hantaran kisah Rashid di Facebook (Fb) hingga tular berkata, niatnya berkongsi cerita itu kepada umum bertujun menghebahkan kepada orang ramai tahu supaya tahu ada orang susah dan memerlukan bantuan.

Bagaimanapun, Mohd Roimran mengakui terkilan apabila ada segelintir warganet menuduhnya mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain.

Berkongsi kisah sebenar, Mohd Roimran berkata, pada Selasa lalu, dia menerima kiriman WhatsApp daripada lelaki berkenaan yang bertanya sama ada masih ada lebih nasi atau tidak kerana mahukannya.

Menurut Mohd Roimran, nasi jualannya sudah habis ketika itu dan sedang bersiap untuk menutup gerai kerana hari sudah lewat petang.

"Lelaki itu minta tiga set, saya memberitahunya gerai sudah tutup dan minta dia datang keesokannya. Katanya nak datang ke gerai saya 7 pagi keesokannya sedangkan saya buka 10 pagi.

"Dia memang datang cuma tak sangka dengan berjalan kaki dan waktu sampai, bajunya sudah basah lencun.

"Mungkin dia sanggup datang kerana di rumah memang tiada makanan dan selepas dengar ceritanya, saya beri makanan serta belikan lampin pakai buang untuk anaknya yang kecil. Kemudian saya pesan dan bayarkan sekali tempahan kenderaan e-hailing untuknya pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Roimran berkata, selepas berkongsi hantaran mengenai lelaki itu di Facebook (FB) rasmi perniagaannya, dia menerima banyak komen termasuk daripada individu mendakwa lelaki terbabit sebenarnya pemalas dan sudah menerima bantuan sebelum ini.

"Jadi bila dapat komen seperti itu, saya ambil keputusan memadam hantaran mengenai lelaki berkenaan sebab takut timbul salah faham.

"Selepas itu saya nekad hubungi lelaki berkenaan dan datang sendiri ke rumahnya di Kuala Pajam, Beranang untuk lihat keadaan sebenar.

"Bila datang ke rumahnya, saya nampak dia tinggal dengan isteri, dua anak tiri dan bayi berumur sembilan bulan selain ibu mentua serta adik ipar.

"Apa saya perhatikan, memang benarlah dia perlukan bantuan dan mengenai dakwaan pemalas pula, saya ada tanya juga dan katanya tak bekerja sebelum ini kerana motosikal rosak," katanya.

Menurut Mohd Roimran, impak hantarannya di FB, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada menghubunginya untuk mendapatkan maklumat selain menghantar wakil bagi menyampaikan sumbangan wang tunai.

"Waktu itu, LZS maklumkan saya mereka nak pergi ziarah untuk tengok keadaan lelaki berkenaan dan keluarganya.

"Syukur dan saya masih berhubung dengan lelaki itu serta diberitahu dia sudah dapat kerja serta ada keperluan. Lega mendengarnya cuma saya harap tak ada lagi salah faham dan kecaman selepas ini kerana semuanya sudah selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 8:01 PM