SITI Bayu mengidap masalah kemurungan ditemani oleh ibu, Che Zusila Che Daud, 49, meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2023 ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kedai Baru, Binjai, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SITI Bayu mengidap masalah kemurungan ditemani oleh ibu, Che Zusila Che Daud, 49, meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2023 ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kedai Baru, Binjai, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Diuji dengan masalah kemurungan sehingga perlu mendapatkan rawatan psikologi di hospital, namun Siti Bayu Mohd Ridzuan, 18, melawan sakitnya dan mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Siti Bayu yang terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, mengakui bersyukur dengan keputusan itu selepas mengharungi pelbagai cabaran akibat sakitnya itu sejak 2019 lagi.

Katanya, menghidap kemurungan ketika bergelar seorang pelajar bukan sesuatu yang mudah tetapi berkat sokongan ibu bapa, guru dan kekal positif menjalani rawatan menjadi kunci utama kejayaannya hari ini.

"Sebenarnya saya tidak menyangka mendapat keseluruhan 9A(2A+ ,7A) memandangkan ketika percubaan tempoh hari saya memperoleh C untuk subjek Matematik. Bagaimanapun, Alhamdulillah, hasil usaha saya membuat latih tubi, akhirnya saya memperoleh A bagi subjek ini.

"Selain itu, disebabkan kemurungan ini juga saya terpaksa bertukar-tukar sekolah sehingga akhirnya selesa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1, di sini.

"Terima kasih kepada semua guru mengajar kerana memahami keadaan saya yang sebenar.

"Keadaan saya kini semakin baik dan saya berharap agar boleh terus kuat kerana lebih banyak yang perlu saya capai selepas ini termasuk mahu berjaya di menara gading," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kedai Baru, Binjai, di sini, hari ini.

Siti Bayu yang mahu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan perundangan berkata, dia mempunyai cara tersendiri ketika mengulangkaji pelajaran iaitu dengan membuat latihan atau nota menggunakan pen merah supaya lebih mudah diingati.

"Sebulan sebelum menduduki peperiksaan SPM, saya akan bangun seawal jam 4 pagi untuk mengulangkaji pelajaran kerana berasa lebih segar dan tenang untuk belajar sehinggalah azan Subuh berkumandang.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang merawat saya di HRPZ II, terutama kepada Dr Suria yang paling rapat dan sering memberi dorongan serta sokongan yang tidak putus-putus.

"Besar harapan saya semoga kejayaan hari ini boleh memberi semangat kepada rakan-rakan lain yang senasib selain membuktikan bahawa mereka yang kemurungan boleh sembuh seterusnya berjaya seperti orang lain," katanya yang juga bercita-cita untuk belajar di luar negara jika diberikan peluang.

Menurutnya, untuk terus fokus ketika belajar dia turut mengamalkan air putih supaya kekal segar terutama jika tempoh pembelajaran mengambil masa yang agak lama selain memastikan waktu tidurnya cukup.

Katanya, segala masalah akan dipastikan diselesaikan terlebih dulu sebelum belajar kerana pesakit kemurungan sepertinya perlu sentiasa dalam keadaan tenang atau tidak tertekan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:07 PM