LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelajar cemerlang, Easwaran Vasudavan yang memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 termasuk subjek Tasawwur Islam mendedahkan rancangan berunsur Islamik termasuk Jejak Rasul menjadi panduannya menghadapi peperiksaan bagi mata pelajaran terbabit.

Menurutnya, rancangan televisyen berunsur Islamik itu menarik minatnya untuk mengambil subjek Tasawwur Islam dalam peperiksaan SPM 2020.

Dia yang tular selepas mendapat A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam berkata, program keagamaan di TV3 dan TV9 dijadikan panduan untuk menghadapi peperiksaan bagi mata pelajaran terbabit.

"Saya begitu meminati rancangan Jejak Rasul terutama sinematogarfinya dan apabila mendengar suara pengacara Abang Fedtri Yahya, saya suka dengar cara beliau bertutur dan dia jugalah idola saya.

"Ibu bapa dan adik beradik semua tahu saya apabila rancangan Jejak Rasul ditayangkan, saya yang akan memegang 'remote control', mereka tidak pernah menghalang saya.

"Pernah saya tidak berapa sihat dan terlepas menontong rancangan Jejak Rasul, bangun daripada tidur saya terus menangis," katanya yang berkongsi kisahnya kepada media ketika sesi temubual secara maya hari ini.

Easwaran berkata, dia adalah calon tunggal yang menduduki subjek itu di sekolah dan tiada guru untuk mengajar daripada awal iaitu sejak tingkatan empat.

"Akhirnya, ada seorang ustazah dari Kelantan yang saya kenali menerusi saluran Youtube sanggup mengajar saya.

"Ustazah Nani Suraya Abdul Karim yang banyak membantu saya memahami subjek ini, termasuk cikgu Asraf Wazir.

"Perkara yang susah untuk saya faham adalah mengenai perundangan Islam dan penghakiman sebab ia membabitkan fakta yang perlu dihafal," katanya yang bercita-cita menjadi pakar nefrologi.

Dilahirkan pada 16 Jun 2003, anak kedua daripada empat beradik ini turut berkongsi permulaan dia berminat mengenali Islam apabila menonton filem Munafik.

"Saya tak tahu kenapa saya berminat sangat untuk mengetahui mengenai dajal dan jin semua. Malah, setiap kali saya ada soalan, Abang Fedtri Yahya selalu beri jawapan dan pandangan beliau.

"Selain itu, saya juga bersyukur kerana beliau banyak membantu memahami pelajaran yang diambil," katanya.

Katanya, bagi situasi sekarang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan belajar menerusi maya bukan alasan untuk tidak mengulangkaji pelajaran.

Sementara itu, Fedtri Yahya memuji kesungguhan Easwaran yang meminati Bahasa Melayu dan berkaitan agama serta tidak pernah berputus asa.

"Easwaran bukan sahaja seorang yang bersungguh belajar mengenai sejarah Islam, bahkan pertuturannya sopan dan dia juga begitu menghormati orang lain.

"Saya juga terkejut apabila dia beritahu, dia juga berpuasa dan bersahur sepanjang Ramadan malah Easwaran turut melaksanakan puasa enam Syawal," katanya.

Berita berkaitan

  • V Easwaran calon tunggal sekolah peroleh A+ bagi Tasawwur Islam
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:04 PM