FARAH Izzati (kiri) mengakui keretanya rosak sebelum berlepas ke Surabaya. FOTO Ihsan Sukan IPT
FARAH Izzati (kiri) mengakui keretanya rosak sebelum berlepas ke Surabaya. FOTO Ihsan Sukan IPT
BERNAMA

Surabaya: Atlet judo wanita negara Nur Farah Izzati Wallah meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 selepas mengetepikan pencabar tuan rumah yang juga atlet Sukan Olimpik, Maryam March Maharani.

Dalam acara bawah 52 kilogram (kg) wanita yang berlangsung di Pusat Konvensyen Airlangga di sini hari ini, Maryam March dibatalkan penyertaan akibat melanggar peraturan perlawanan dengan membawa masuk 'airpod' dalam pakaiannya pada aksi final itu.

Nur Farah Izzati menyifatkan kemenangan diraihnya sebagai bukti usaha yang dilakukannya selama ini berbaloi dan mahu menggunakan insentif RM3,000 yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir minggu lalu untuk membaiki kereta.

"Sebelum saya datang sini kereta saya rosak, itu pun ketika saya dalam perjalanan untuk ke latihan sebagai persediaan ke AUG, insentif itu saya nak guna untuk betulkan kereta saya.

"Perjuangan saya sebelum ini...ada banyak sangat cabaran, saya tahun ini semester terakhir sebelum masuk latihan industri, tidak semestinya kita pelajar tak boleh berjaya dalam sukan, " kata atlet kelahiran Perak itu kepada pemberita selepas perlawanan.

Terdahulu, pada pusingan pertama Nur Farah Izzati menang mudah ke atas atlet Singapura Shu Wen Yeo untuk mara ke perlawanan akhir.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara Muhammad Fareez Mohameid terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas dikecewakan atlet tuan rumah Tommy Darmawan dalam acara bawah 60kg lelaki.

Muhammad Fareez sebelum itu menewaskan pencabar dari Singapura, Bryan Tze Haeng pada pusingan pertama pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 9:41 PM