SITI Nur Amalin diraikan ibu bapanya, Hasmawati dan Kamal Samsul apabila berjaya memperolehi keputusan 6A dalam SPM 2023 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Aman, Kubang Kerian, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SITI Nur Amalin diraikan ibu bapanya, Hasmawati dan Kamal Samsul apabila berjaya memperolehi keputusan 6A dalam SPM 2023 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Aman, Kubang Kerian, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: "Walaupun fizikal saya tidak sekuat dulu namun ia tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk berjuang sebagai pelajar dan akhirnya memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," kata Siti Nur Amalin Kamal, 18, yang juga penghidap angin ahmar.

Siti Nur Amalin yang lumpuh seluruh badan pada Mei 2019 ketika di tingkatan satu, bukan saja terpaksa bertongkat ke sekolah dengan pergerakan yang agak terbatas malah sering kali tidak hadir kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Katanya, bagaimanapun dengan dorongan ibu, Hasmawati Mohamad, 50, dan bapa, Kama Samsul, 57, serta guru-guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, di sini, dia berusaha sebaik mungkin dan bersyukur memperoleh keputusan cemerlang.

"Saya pernah ditidurkan dan berada unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama tiga bulan selain hanya berkomunikasi menggunakan kerdipan mata. Namun dengan kuasa Allah, saya mampu bangkit menduduki SPM dan memperoleh keputusan hari ini.

"Perjalanan saya sebagai pelajar tidak seperti rakan-rakan lain kerana perlu sentiasa dibantu, malah ibu bapa akan menghantar dan mengambil saya terus dari bilik darjah pada setiap hari kerana saya tidak mampu membawa beg sendiri.

"Selain itu, saya juga tidak dapat menghadiri tuisyen atau kelas tambahan kerana badan tidak boleh letih, justeru perlu mengambil inisiatif dengan belajar sendiri di rumah untuk lebih memahami sesuatu subjek," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Aman, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Siti Nur Amalin berkata, dia juga terpaksa menduduki peperiksaan SPM di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.

Dia berkata, dia berminat meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Guru (IPG) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), dan keadaan dirinya yang diuji dengan lumpuh tidak akan sesekali mematahkan semangatnya.

"Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik walaupun sebelah kanan badan masih lagi lemah. Sekarang saya berjalan menggunakan tongkat dan besar harapan agar dapat pulih sepenuhnya seterusnya mencapai impian menjadi seorang guru.

"Sepanjang persekolahan ada saja waktu saya berasa putus asa kerana kasihan melihat ibu dan ayah terpaksa bersusah payah, tetapi berkat doa mereka juga saya terus kuat dan meneruskan kehidupan dengan sebaiknya.

"Terima kasih kepada rakan-rakan serta guru yang banyak membantu saya di sekolah, tanpa mereka saya pasti tidak dapat meneruskan pembelajaran," katanya yang juga anak keempat daripada lima adik beradik.

Menurutnya, dia sekarang masih mengambil ubat dan menjalani rawatan pemulihan di hospital untuk pulih sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 4:41 PM