SHERPA ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra bersama Pengamal Media, hari ini. FOTO Genes Gulitah
SHERPA ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra bersama Pengamal Media, hari ini. FOTO Genes Gulitah
Mahaizura Abd Malik


Bangi: "Saya tak pernah minta jadi popular, jadi saya anggap ini satu rezeki dan kenangan manis semasa bekerja di Malaysia," kata Sherpa Dawa, pengawal keselamatan yang menemui beg berisi wang tunai lebih RM500,000, di Damansara, Mac lalu.

Sherpa, 39, yang berasal dari Nepal berkata, sepanjang tujuh tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia, peristiwa itu menjadi pengalaman paling berharga buatnya sehingga melonjakkan jumlah pengikutnya di TikTok.

"Saya tak sangka daripada kira-kira 200 sekarang pengikut saya melonjak kepada 13,000 hanya dalam tempoh sebulan.

"Lebih bermakna, bukan hanya majikan, A5 Security Service, malah kerajaan negara saya juga menyampaikan penghargaan menerusi Kedutaan Nepal di Malaysia," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri dan Ramah Mesra Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) bersama media di sini hari ini.

Sherpa dan seorang lagi pengawal keselamatan tempatan, R Yogeswary hadir ke majlis itu bagi menerima anugerah khas daripada PIKM.

Majlis itu meraikan syarikat yang berdaftar dengan PIKM serta agensi kerajaan.

Mengenai cabaran, Sherpa berkata, dia pernah dimarahi dan dimaki hamun, namun perkara seumpama itu lumrah sepanjang bekerja di Malaysia.

"Biasalah apabila kita ini orang luar, mesti ada orang (tempatan) tidak puas hati atau pertikaikan lagi-lagi kalau kita minta kad pengenalan atau lesen memandu untuk mendaftar.

"Selalunya saya akan cuba sebaik mungkin cakap elok-elok dengan menjelaskan kepada pelanggan supaya keadaan tidak jadi lebih buruk.

"Itu antara cabaran utama saya bekerja sebagai pengawal keselamatan asing di sini, tetapi apapun ia tak patahkan semangat saya untuk terus cari makan bagi menyara isteri dan anak di Nepal," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Sherpa menerima anugerah daripada majikannya selepas kejujurannya memulangkan semula wang lebih RM500,000 yang ditemui di sebuah tempat letak kenderaan di pusat beli-belah di Damansara, 20 Mac lalu.

Sementara itu, Yogeswary, 45, yang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Disember lalu pula berkata, dia tekad terus memudahkan urusan semua pelanggan dan pesakit di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

"Memudahkan urusan semua orang memang sudah sebati dalam jiwa saya kerana saya akan puas hati melihat senyuman orang yang dibantu.

"Itu memang sudah jadi tugas saya sebagai pengawal keselamatan, jadi saya sedia membantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan.

"Setakat ini, saya juga tidak pernah alami pengalaman menakutkan seperti dimarahi atau dimaki hamun kerana saya dikelilingi insan yang baik-baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 3:13 PM