YOGESWARY dipuji ramai kerana sikapnya yang sentiasa bersedia untuk membantu pesakit di  HRPB. FOTO tular
YOGESWARY dipuji ramai kerana sikapnya yang sentiasa bersedia untuk membantu pesakit di HRPB. FOTO tular
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Berpegang kuat kepada prinsip setiap agama menuntut berbuat baik sesama insan mendorong pengawal keselamatan wanita ini membantu setiap pesakit dan pelawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini sejak lebih empat tahun lalu.

R Yogeswary, 44, yang kini bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi di hospital berkenaan mendapat perhatian warganet apabila kisahnya yang sering membantu orang awam, dimuat naik seorang pelawat di Facebook (FB).

Hantaran tular itu menyifatkan Yogeswary adalah kakitangan yang istimewa dan menjalankan tugas dengan baik serta gembira selain dikenali kerana suka menolong orang ramai.

Wanita itu akan membantu bukakan pintu kereta, mengangkat barang, menjaga lalu lintas di parkir, menenangkan pesakit yang cemas, serta mengucapkan tahniah kepada ibu yang baharu melahirkan anak.

Kisahnya turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang turut memberi penghargaan kepada Yogeswary atas komitmen diberikan dalam satu hantaran di FB, semalam.

Yogeswary berkata, setiap hari tekadnya mahu membantu dan memudahkan urusan orang ramai di hospital kerana itu dapat membuatnya tenang.

"Setiap hari saya mahu tunjukkan wajah gembira biarpun ada masalah dan berusaha membantu tanpa mengira perbezaan kaum serta agama.

"Saya sendiri faham setiap yang datang ke sini mempunyai urusan jadi tugas saya memudahkan kerja mereka, malah jika berkeperluan saya akan berusaha mencari parkir lebih dekat untuk mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PENGHARGAAN daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa kepada pengawal keselamatan yang tular, Yogeswary. FOTO FB Dr Zaliha.
PENGHARGAAN daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa kepada pengawal keselamatan yang tular, Yogeswary. FOTO FB Dr Zaliha.

Katanya, dia gembira melakukan tugasnya sekali gus menyantuni dan membantu orang ramai, malah mengakui ia dilakukan dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan atau pujian ramai.

"Saya anggap mereka yang berada di hospital ini seperti saudara sendiri dan percaya setiap agama mengajar kita berbuat baik dengan semua orang.

"Saya berkerja dengan ikhlas, malah tempoh jam bekerja juga terasa cepat berlalu dan tidur malam juga rasa lebih tenang selepas dapat memudahkan urusan orang," katanya bertugas di bahagian luar dan berkerja dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Berhubung kisahnya yang tular di FB, Yogeswary berkata, dia bersyukur bantuan kecilnya mendapat penghargaan hingga menarik perhatian Dr Zaliha.

"Saya baca semua komen di FB dan terharu kerana tak sangka juga bantuan kecil saya dihargai ramai.

"Malah berasa sangat bertuah kerana walaupun hanya pengawal keselamatan yang menjaga parkir orang tetap menghargai saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:00 PM