ANTARA pengawal keselamatan warga asing yang pernah ditahan dalam serbuan di Shah Alam. FOTO arkib NSTP
ANTARA pengawal keselamatan warga asing yang pernah ditahan dalam serbuan di Shah Alam. FOTO arkib NSTP
Oleh Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lebih 30,000 orang. Itu anggaran angka pengawal keselamatan warga asing tanpa izin selain warga Nepal yang dikesan bekerja dalam sektor kawalan keselamatan sejak beberapa tahun lalu.

Jumlah ini satu angka yang mengejutkan kerana ia berkemungkinan akan terus meningkat seiring dengan perkembangan industri seperti perkilangan, pembinaan dan perladangan yang memerlukan khidmat lebih ramai pengawal keselamatan.

Sehingga kini kerajaan hanya membenarkan warga Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, permintaan pengawal keselamatan warga asing selain Nepal kini semakin meningkat disebabkan faktor kos yang murah.

Katanya, di Malaysia hanya warga Nepal dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan namun undang-undang itu dilihat semakin lupus ditelan kerakusan pihak yang berani memberi perkhidmatan kawalan keselamatan tanpa izin dengan menawarkan khidmat warga asing negara lain secara terang-terangan demi mengaut keuntungan.

"Keuntungan adalah faktor utama apabila individu atau syarikat tidak berlesen bergerak secara licik dengan menawar harga rendah kepada pelanggan yang kurang kesedaran terhadap peruntukan undang-undang lazimnya kawasan perumahan.

"Kumpulan kongsi gelap juga dilaporkan bergiat dalam perniagaan ini termasuk segelintir syarikat berlesen yang menjalankan perniagaan apabila mengaut keuntungan atas angin dengan membekalkan pengawal keselamatan tanpa izin.

"Jumlah pendatang asing tanpa izin yang ramai di negara ini menyebabkan pasaran dalam sektor kawalan keselamatan semakin besar kerana golongan terbabit hanya mahu bekerja tanpa sedar itu adalah kesalahan," katanya.

Menurutnya, ada juga majikan yang 'menjual' warga asing yang kononnya diambil sebagai pekerja dalam sektor lain namun diarah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Beliau berkata, warga India dari Tamil Nadu, Gujarat dan Punjab selain Pakistan, Myanmar serta Indonesia sering menjadi pilihan untuk digajikan sebagai pengawal keselamatan.

"Kewujudan pengawal keselamatan tanpa izin ini berpotensi menyebabkan peningkatan kes jenayah lain seperti pemerasan dan kekerasan kerana sukar untuk mengesan mereka yang tidak mempunyai rekod kakitangan dengan syarikat keselamatan.

"Adalah sesuatu yang membahayakan masyarakat jika kumpulan ini dibiarkan berleluasa sehingga mengancam keselamatan awam," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, wujud kemungkinan ancaman pengganas dalam kalangan warga asing tidak boleh dinafikan seperti yang pernah didedahkan Cawangan Khas Bukit Aman sebelum ini.

Katanya, tangkapan membabitkan warga asing dalam aktiviti keganasan turut dijalankan Polis Diraja Malaysia dan ini seharusnya dipandang serius kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri.

"Penguatkuasaan secara konsisten dan agresif perlu dilakukan kerajaan kerana masalah ini membabitkan keselamatan masyarakat umum sekali gus mendedahkan kepada aktiviti jenayah yang lebih besar jika tidak dibendung," katanya.

Gaji lebih murah pilihan majikan

Bayaran gaji lebih rendah menjadi faktor utama pengawal keselamatan warga asing bukan Nepal menjadi pilihan majikan.

Pengarah Urusan Kawalan Keselamatan Sentral Malaysia Sdn Bhd, Mohd Ridzuwan Abdoll Razak berkata, ada antara pelanggan tertarik mahu mendapatkan perkhidmatan pengawal keselamatan tanpa izin susulan enggan mengeluarkan kos tinggi.

Menurutnya, gaji seorang pengawal keselamatan warga Nepal mencecah antara RM1,700 hingga RM1,800 sebulan.

"Namun, bagi warga asing lain seperti Pakistan, Indonesia dan India, gaji dibayar jauh lebih murah kerana mereka terdesak untuk mendapatkan kerja.

"Jadi kesempatan ini digunakan sesetengah syarikat kawalan keselamatan untuk mengambil warga asing bukan Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, kos permit kerja untuk seorang warga Nepal mencecah RM5,000 dan ini menjadi kekangan kepada syarikat yang baru berjinak dalam sektor ini.

"Ada antara syarikat yang berani menanggung risiko dikenakan tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia jika kegiatan mereka dihidu.

"Saya harap masalah ini perlu dikawal kerajaan kerana ia akan memberi impak kepada syarikat keselamatan lain seperti kami yang mematuhi peraturan yang dikenakan untuk menggajikan pengawal keselamatan warga Nepal.

"Jika ia berleluasa, banyak syarikat keselamatan akan gulung tikar kerana pengawal keselamatan tanpa izin menjadi pilihan utama pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 8:00 AM