Norjuma Habib Mohamed. FOTO Arkib NSTP
Norjuma Habib Mohamed. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Usahawan tudung, Norjuma Habib Mohamed didakwa di empat Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan iaitu mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas personaliti televisyen berusia 44 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, Amira Abd. Aziz, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim.

"Tidak (mengaku bersalah)," katanya ringkas.

Mengikut tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, Norjuma didakwa mencederakan seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram dengan menendangnya di bahagian betis kiri di sebuah pusat tuisyen di Brickfields di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.

Wanita itu turut didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang, di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Norjuma juga didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Kesemua pertuduhan mendatangkan cedera didakwa mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara itu Norjuma turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium di lorong Ampang 2 Taman U-Thant, di sini pada jam 7.44 malam, 28 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam Izzat Amir.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 3:25 PM