DAVID fasih berbahasa Melayu sejak kerana pergaulan dengan rakan sejak di bangku sekolah. FOTO ihsan Adeyemi Adetunji Dolapo
DAVID fasih berbahasa Melayu sejak kerana pergaulan dengan rakan sejak di bangku sekolah. FOTO ihsan Adeyemi Adetunji Dolapo
Redzuan Muharam


Bangi: Hanya kerana warna kulit, ada yang beranggapan Adeyemi Adetunji Dolapo atau mesra disapa David bukan orang tempatan.

Bukan setakat itu, ada segelintir menganggap David, 21, bukan Muslim, tidak memahami atau boleh bertutur bahasa Melayu.

Hakikatnya, sudah 13 tahun David menetap di negara ini malah memiliki kerakyatan dan sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Menyingkap latar belakangnya, David yang kini menuntut dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor berkata, dia berdarah campuran kerana ibunya berketurunan peranakan Baba Nyonya Melaka manakala bapanya, orang Afrika dari Nigeria.

"Saya lahir di Nigeria cuma waktu umur lapan tahun, emak dan ayah bawa saya berhijrah ke negara ini.

"Jadi sejak itu, saya bersekolah di negara ini dan awalnya memang tak pandai cakap bahasa Melayu.

"Dua tahun juga saya ambil masa untuk fasih dan lancar bercakap hasil pergaulan dengan rakan kerana di sekolah memang bersembang dengan mereka dalam bahasa Melayu.

"Dalam keluarga, saya, kakak dan emak saja boleh cakap bahasa Melayu... ayah tak fasih sangat kerana jarang cakap dalam bahasa Melayu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Lantaran penampilan luarannya, David mengakui pernah diejek dan berdepan individu yang cuba membulinya ketika kecil.

"Tapi saya sedar diri jadi cuba tak cari fasal kerana tahu walaupun orang lain bersalah namun saya juga akan dipersalahkan memandangkan saya minoriti.

"Selagi mana orang tidak biadap dengan saya, saya okay saja kerana jika keterlaluan, saya pun akan balas semula kata-kata mereka.

"Tapi pernah saja nampak orang bercakap sesama sendiri mengenai saya kerana mereka ingat saya tak faham bahasa Melayu.

"Pengalaman lain adalah jumpa orang yang bersungguh cakap bahasa Inggeris dengan saya sebelum sedar saya boleh cakap bahasa Melayu. Saya sudah terbiasa kerana mungkin mereka ingat saya orang luar atau pelancong," katanya katanya yang aktif dalam olahraga dan pernah menerima tawaran sebagai pelakon tambahan serta model.

Menyedari populariti TikTok, David juga enggan ketinggalan membuka akaun di platform berkenaan bagi mengetengahkan dirinya.

"Akaun ada sejak tahun lalu namun baru bulan ini saya aktif muat naik video.

"Mulanya sukar juga namun apabila saya mula bercakap dalam bahasa Melayu, ramai yang boleh terima.

"Ramai yang terkejut kerana ingat saya bukan Muslim dan orang tempatan namun saya tak kecil hati kerana mungkin ia disebabkan nama David yang digunakan di TikTok," katanya yang merancang menyambung lagi pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana sebelum merebut peluang kerja dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 5:49 PM