Pagoh: Kelebihan bertutur bahasa Thailand tidak disia-siakan Vyranath Ko Mon yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) lulusan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini.
Buktinya, Vyranath, 22, tidak lokek berkongsi ilmu dan aktif memuat naik video perkongsian terjemahan perkataan Thailand dalam bahasa Melayu di TikTok.
Lantaran itu, ramai memintanya mengadakan kelas bahasa Thailand dan setakat ini, Vyranath pernah mengajar tetapi dua bulan saja iaitu cuti semester lalu secara dalam talian.
"Saya aktif di TikTok sejak Mac lalu dan awalnya buat 'content' menyanyi lagu Thailand.
"Kemudian, ada yang minta buat video dan ajar bahasa Thailand dengan buat terjemahan kerana ada ketikanya carian makna di Internet tidak tepat.
"Sambutan terhadap video yang saya muat naik agak luar biasa dengan rata-ratanya nak belajar bahasa Thailand kerana mahu menonton drama atau filem tanpa sarikata, melancong dan sambung pengajian.
"Bertitik tolak daripada situ, saya dapat permintaan ajar secara dalam talian pula dan mulanya nak ajar percuma tapi memandangkan saya masih belajar jadi cuba cari duit poket dengan kenakan caj RM25 untuk sesi perseorangan serta RM10 untuk berkumpulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Vyranath berkata, selain warga tempatan, ada juga pengikut dari Indonesia dan Jepun berminat mengikuti kelasnya.
"Tapi saya tak dapat terima pelajar Jepun itu kerana bimbang ada masalah komunikasi.
"Jujurnya puas kerana dapat kongsi ilmu malah gembira apabila ada dalam lima ke enam pelajar beri maklum balas positif dengan mengatakan mereka ambil masa dua minggu saja untuk fasih bercakap," katanya.
Berkongsi perihal dirinya, Vyranath berkata, dia berasal dari Perlis namun mendiang ibunya, Junjuree Chaiseansuk warga Thailand manakala bapanya, Ko Mon Tiam keturunan Siam tempatan.
Jadi, sejak kecil lagi Vyranath bertutur dengan keluarganya di rumah dalam bahasa Thailand hingga fasih dan cekap membaca serta menulis.
"Ketika masuk Tahun Satu, baru saya belajar cakap bahasa Melayu.
"Memang ramai ingat saya orang Islam dan Melayu waktu sekolah sedangkan saya bukan Muslim.
"Ikutkan di Perlis ramai saja yang boleh cakap Siam dan bukan perkara pelik sebenarnya namun bila saya belajar di Johor ramai terkejut. Bukan kerana saya boleh cakap Siam tapi fasih bertutur bahasa Melayu," katanya.
Berkongsi hala tujunya, Vyranath berkata, dia bakal menjalani latihan industri di sebuah hospital dekat Bangkok, Thailand.
"Tamat pengajian, saya rancang untuk terus kerja di sana jika ada rezeki.
"Selain itu, saya rancang nak jalankan perniagaan menjual tote beg secara dalam talian," katanya yang sebenarnya menyimpan impian bergelar pegawai forensik.