Datuk Rusdi Mohd Isa
Datuk Rusdi Mohd Isa
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Nasib 10 suspek yang dikaitkan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom akan ditentukan selepas siasatan selesai, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Katanya, kertas siasatan masih dilengkapkan sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada mereka dituduh, dibebas atau diusir dari negara ini.

Menurutnya kesemua individu berkenaan masih ditahan di lokap di sekitar ibu negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Tempoh (tahanan) reman tujuh individu akan tamat pada 14 Mei manakala tiga lagi iaitu warga asing tamat pada 15 Mei ini.

"Seminggu sebelum itu, keputusan tuduh, bebas atau usir (bagi warga asing ditahan) adalah bergantung kepada siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek yang ditahan disahkan sebagai pemegang pasport Amerika Syarikat (AS) dan masuk ke Malaysia sebagai pelancong.

Bagaimanapun katanya, walaupun individu itu memiliki pasport AS, tidak bermakna suspek berkenaan berasal dari negara berkenaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Avitan Shalom, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.

Tertuduh, mengangguk faham sebelum membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tasnim Abu Bakar.

Pada 27 Mac, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di sebuah hotel selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki itu memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac.

Dia yang masuk menggunakan pasport Perancis itu didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan itu, polis menahan suami isteri warga tempatan yang didakwa menjual senjata api kepada warga Israel itu sebelum mereka dibicarakan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, Isnin lalu.

Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan isterinya Syarifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Sharifah Hascindie Syed Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 5:50 PM