KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan terus kekal bersama skuad kebangsaan sehingga misi utama untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027 tercapai.

Pan-gon menerusi kenyataan medianya memaklumkan, beliau tidak menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengatakan sedia untuk meninggalkan pasukan negara sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan.

"Kenyataan dalam laporan berita itu yang dipetik daripada sumber itu sama sekali tidak tepat kerana saya tidak menghantar apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.

"Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) bagi menjelaskan mengenai perkara ini.

"Saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja.

"Untuk makluman semua penyokong Harimau Malaya, saya akan terus komited untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontrak saya berakhir pada hujung 2025 dengan misi utama untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027," kata Pan-gon.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad Harimau Malaya akan terus terluka apabila dikhabarkan barisan kejurulatihan diterajui Pan-gon sudah bersedia meninggalkan kem pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi pada masa akan datang.

Perkhabaran terbabit bertiup kencang susulan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya itu sudah menghantar surat kepada FAM yang ditunjukkan kepada wartawan.

Situasi timbul kemungkinan berpunca selepas pasukan kebangsaan tewas dua kali kepada Oman dalam kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Menurut sumber, pasukan Pan-gon sudah menghantar surat kepada FAM untuk diberikan pampasan sekurang-kurangnya tiga bulan jika badan induk bola sepak negara terbabit menghentikan khidmat mereka kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 11:13 PM