KECEDERAAN yang dialami pelajar lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai dirotan seorang guru agama di sebuah madrasah di Sik. FOTO Tular
KECEDERAAN yang dialami pelajar lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai dirotan seorang guru agama di sebuah madrasah di Sik. FOTO Tular
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Saya sangat-sangat geram bila anak diperlakukan begini dan berharap tindakan setimpal diambil sebagai pengajaran buat guru terbabit," kata ibu kepada pelajar lelaki sebuah madrasah di Sik yang hanya mahu dikenali sebagai Asma, 40.

Menurut Asma, dia tidak menyangka anaknya yang berusia lapan tahun diperlakukan sebegitu apabila dirotan gurunya menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) pada 11 November lalu.

Katanya, walaupun mangsa adalah anak angkatnya yang dipelihara sejak lahir, namun dia sudah menganggap kanak-kanak itu seperti anaknya sendiri.

"Saya menghantar dua anak di situ termasuk anak lelaki sulung berusia 10 tahun sejak Mei lalu kerana saya sering menemani suami dari rumah kami di Pulau Pinang ke Shah Alam, Selangor disebabkan suami membuka madrasah di sana.

"Saya bersetuju menghantar anak-anak belajar di situ kerana sebelum ini saya periksa dulu kawasan madrasah berkenaan dan tanya guru agama di situ malah dimaklumkan banyak aktiviti dilakukan di situ malah kakitangan serta pelajar di situ bagaikan keluarga.

"Mulanya saya tak syak apa-apa tetapi bila kejadian ini berlaku pada anak saya, saya harap sangat anak-anak di madrasah itu dipelihara dengan baik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Asma berkata, anaknya kini dalam keadaan trauma malah dia tidak boleh lihat bangunan tinggi atau sekolah, pasti menangis.

Katanya, lebih terkilan apabila anak sulung memberitahu yang dia diarah duduk di bangunan lain di madrasah itu malah sering terdengar adiknya menjerit.

"Anak beritahu adik dengar adiknya jerit, "Tolong sakit, tak mau buat dah," setiap kali adiknya dirotan guru agama berkenaan.

"Saya tak kisah kalau nak rotan sebagai mengajar tetapi bukan sampai mendatangkan kecederaan seperti itu," katanya.

Menurutnya, dia sudah memberhentikan dua anaknya di madrasah itu dan akan membawa mangsa menjalani kaunseling di hospital bagi mengurangkan trauma yang dialaminya.

Katanya, sehingga sekarang dia menangis ketika melihat keadaan anaknya dan menyerahkan semuanya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Saya dah bawa anak saya menjalani pemeriksaan di hospital dan hari ini adalah hari kesembilan kejadian berlaku.

"Kalau boleh saya tak nak tular perkara macam ni tapi terpaksa disebabkan mahu ia jadi pengajaran selain berharap polis siasat semua aspek," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pelajar lelaki dari sebuah sekolah madrasah di Sik cedera di beberapa bahagian badan disyaki dirotan seorang gurunya menggunakan batang paip PVC kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai tenaga pengajar di sekolah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 4:13 PM