Jumlah rampasan harta alih dan tidak alih dibuat SPRM dalam tempoh 3 tahun lalu.
Jumlah rampasan harta alih dan tidak alih dibuat SPRM dalam tempoh 3 tahun lalu.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dalam tempoh tiga tahun sejak 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lebih RM1 bilion membabitkan aset jenis harta alih dan harta tidak alih mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sitaan itu membabitkan aset seperti hartanah, rumah, akaun bank, kereta mewah, akaun krypto dan lain-lain.

"Dalam tempoh 2020 hingga 2023, terdapat 119 kertas siasatan dibuka dengan 95 tangkapan dibuat.

"Menerusi siasatan itu, RM1,064,716,840.30 nilai aset dari jenis harta alih dan harta tidak alih disita mengikut AMLATFPUAA 2001.

"Terdapat pelbagai jenis individu yang disiasat mengikut AMLATFPUAA 2001 dan antara kategori pekerjaan individu terbabit adalah bekerja sendiri, penjawat awam dan sektor swasta.

"Manakala lingkungan usia paling muda yang dituduh adalah dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mohamad Zamri berkata, siasatan ke atas proses pengubahan wang haram dijalankan secara menyeluruh.

"Hasil pengubahan aktiviti haram itu dijalankan melalui tiga peringkat iaitu pertama, kaedah penempatan di mana dana haram dipisahkan dari sumber haram dan dimasukkan ke sistem kewangan.

"Keduanya, kaedah pelapisan iaitu proses pencucian wang yang membabitkan proses membuat pelbagai lapisan transaksi dan ketiganya, integrasi iaitu peringkat akhir di mana hasil pencucian itu berjaya disatukan ke dalam ekonomi sebagai aktiviti yang sah," katanya.

Menurutnya, pihaknya menjalankan siasatan mengikut undang-undang, akta, prosedur dan garis panduan yang sedia ada bagi memastikan tindakan dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Mengulas pembabitan VIP dan tokoh politik dalam pengubahan wang haram, beliau berkata, terdapat pembabitan golongan ini dalam kes yang disiasat oleh SPRM namun identiti mereka tidak boleh didedahkan selagi pertuduhan belum dilaksanakan.

Pecahkan transaksi untuk elak dijejaki

Penjenayah yang melakukan aktiviti pengubahan wang haram menggunakan pelbagai modus operandi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, modus operandi mereka seringkali rumit dan dirancang dengan teliti.

Menurutnya, antara modus operandi digunakan adalah pemecahan transaksi iaitu memecahkan transaksi besar menjadi transaksi kecil yang kurang mencurigakan.

"Ini dilakukan untuk mengelakkan peraturan yang memerlukan pelaporan transaksi kewangan besar.

"Selain itu, penggunaan akaun pihak ketiga juga menjadi modus operandi yang sering digunakan bagi mencipta lapisan antara wang haram dan penjenayah, lantas menjadikannya sukar untuk dikesan," katanya.

Mohamad Zamri berkata, penjenayah juga dikesan menggunakan pihak tertentu seperti peguam atau akauntan bertauliah dalam menjayakan modus operandi aktiviti penyelewengan.

"Dengan kaedah ini, penjenayah akan berasa lebih yakin dalam menikmati hasil aktiviti haram di samping mengelirukan pihak penguat kuasa untuk memastikan kesahihan hasil kegiatan haram itu.

"Pelbagai taktik digunakan supaya aktiviti haram mereka tidak dapat dikesan di mana penjenayah menggunakan kaedah pengubahan wang haram ini melalui transaksi tunai ataupun secara transaksi digital, contohnya cryptocurrency dan bitcoin," katanya.

Beliau berkata, disebabkan kemajuan teknologi pada masa kini, modus operandi semakin berkembang dengan wujudnya penggunaan aset digital dan kripto yang memberi cabaran baharu kepada pihak berkuasa untuk mengesan pengubahan wang haram dilakukan penjenayah.

Katanya, pelaburan harta juga boleh dijadikan modus operandi untuk pengubahan wang haram misalnya dilaburkan dalam hartanah, perniagaan, atau aset lain yang kurang cair.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:30 PM