SERAMAI 10 penjawat awam direman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
SERAMAI 10 penjawat awam direman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 10 daripada 15 penjawat awam yang ditahan kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara direman, hari ini.

Perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini.

Sebelum itu, mereka bersama lima lagi individu berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, petang semalam.

Sumber berkata, penahanan terbabit susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 11 Mac lalu.

"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain antara tahun 2017 hingga 2023.

"Susulan tangkapan, AML SPRM turut merampas barangan seperti telefon bimbit serta membekukan akaun bank kesemua suspek," katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman 10 suspek itu manakala lima suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, pasukan sudah menahan reman 11 individu termasuk lima orang penjawat awam.

Modus operandi sindiket itu menggunakan khidmat 'forwarding agent' sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan.

Sindiket juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu' melalui penggurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 3:13 PM