AMBULANS APM rosak selepas terbabit kemalangan di Bukit Putus, semalam.
AMBULANS APM rosak selepas terbabit kemalangan di Bukit Putus, semalam.
HM Digital

Seremban: Hasrat empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seremban membantu mangsa kemalangan di Bukit Putus, di sini, terbantut sebaik ambulans dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, semalam.

Akibatnya, pemandu ambulans dan seorang anggota berusia 30-an parah manakala dua lagi cedera sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Jurucakap APM berkata, dalam kejadian jam 1.45 tengah hari, keempat-empat anggota itu dalam perjalanan membantu mangsa kemalangan motosikal di kawasan berhampiran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, ambulans membuat pusingan U dan dikejutkan kehadiran Perodua Myvi dari Kuala Pilah yang merempuhnya dari belakang.

“Akibatnya, dua anggota parah, patah tangan dan cedera pada tulang belakang. Sementara itu dua lagi anggota cedera di leher serta kepala dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kata jurucakap itu, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:10 AM