Zanariah Abd Mutalib dan dan Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan pakar dan jurutera berhubung gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa masa ini, pihaknya tidak dapat memberikan jaminan bila laluan antara stesen itu, yang terganggu akibat kerosakan struktur berdekatan stesen LRT Bandar Raya akan pulih.

"Semalam dan hari ini, kita menunggu laporan pakar dan jurutera untuk melihat sejauh mana struktur itu memberikan kesan kepada keselamatan, sama ada ia selamat untuk beroperasi semula.

"Saya tidak dapat memberikan jaminan sekarang (bila akan beroperasi semula). Sudah tentu apabila kita menerima laporan, kita akan membuat keputusan mengenai bagaimana kita membuat mitigasi dan pengumuman lebih lanjut, mungkin dalam sehari dua lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia ((ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber di sini, hari ini.

Pagi semalam, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan, perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Syarikat itu berkata, hasil pemerhatian awal mendapati kelewatan LRT itu berpunca daripada kerosakan struktur jejambat akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.

Justeru, Rapid Rail terpaksa menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sehingga keselamatan serta kekukuhan landasan itu dapat dipastikan.

Pada masa sama, Loke menasihatkan penumpang yang menggunakan LRT Laluan Ampang supaya merancang perjalanan mereka pada Isnin ini dan perkembangan lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.

"Saya juga berharap penumpang memahami yang keadaan itu, kita bukannya mahu menutup laluan berkenaan tetapi kita mesti mengutamakan keselamatan tren dan penumpang. Itu yang paling penting," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 3:20 PM