Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Kerja pembaikan struktur jejambat Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang mengalami keretakan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kerja pembaikan itu akan dilaksanakan oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan perunding yang dilantik bagi membaiki struktur terbabit segera.

Pada masa sama katanya, stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja ditutup.

"Buat masa ini pengguna LRT akan menggunakan 'shuttle bus' yang disediakan bagi menghubungkan kedua-dua stesen itu.

"Proses pembaikan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur itu selamat digunakan, manakala fasa panjang memastikan struktur itu kukuh.

"Kita menjangkakan laluan antara dua stesen ini terganggu dalam tempoh dua minggu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan gudang Infinity Freight Village 5 di sini, hari ini.

Demikian beliau mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung kerosakan struktur jejambat di kawasan berhampiran stesen LRT Bandaraya yang dipercayai akibat kerja pembinaan bersebelahan kawasan terbabit.

Mengulas lanjut katanya, kedua-dua stesen itu akan dibuka semula apabila pihak berkenaan memastikan perkhidmatan itu selamat kepada pengguna.

"Lebih 200 kakitangan Prasarana dimobilasikan di dua stesen itu bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna.

"Kita tiada pilihan kerana ini membabitkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian menyokong penuh konsep laluan khas atau 'blue lane' kepada penunggang motosikal bagaimanapun pelaksanaannya memerlukan pelaburan besar terutama sekiranya dilakukan di lebuh raya dan jalan persekutuan.

Katanya, kerja pembinaan dan menaiktaraf jalan raya itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).

"Ini memerlukan pelaburan jangka panjang cukup besar kerana reka bentuk jalan raya kita tiada pengasingan dan sekiranya ingin dilakukan perlu dibina tembok penghalang di lorong motosikal.

"Kalau ada tempat-tempat yang sesuai untuk kita laksanakan sebagai permulaan, saya alu-alukan dan menyokong usaha berkenaan," katanya.

ANTHONY Loke pada sidang media selepas merasmikan Gudang Infinity Freight Village 5 di Westport Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
ANTHONY Loke pada sidang media selepas merasmikan Gudang Infinity Freight Village 5 di Westport Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 4:31 PM