PEMANDANGAN ibu kota ketika kejadian panahan kilat dirakam Muhammad Zairul.
PEMANDANGAN ibu kota ketika kejadian panahan kilat dirakam Muhammad Zairul.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Sekeping rakaman gambar unik kejadian panahan kilat di puncak bangunan ikonik negara, Menara KLCC mampu mencecah nilai sehingga puluhan ribu ringgit.

Kedengaran tidak masuk akal, namun gambar unik sebegitu yang jarang dan sukar sekali untuk dirakam menjadi buruan peminat fotografi dan golongan hartawan di seluruh dunia.

Mereka sanggup membayar mahal semata-mata mendapatkan gambar unik berkualiti selain tidak pernah dirakam oleh sesiapa sebelum ini.

Sesuai dengan harganya, gambar fenomena kilat atau ribut berkenaan bukan mudah untuk dirakam dan biasanya jurugambar perlu memiliki kesabaran tinggi dan menunggu lama.

Ada antaranya menunggu sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum berjaya mendapat hasil diingini.

Namun, tidak semua golongan 'pemburu petir' ini merakam gambar kejadian kilat atau ribut untuk keuntungan berikutan ada juga antara mereka ini melakukannya atas dasar hobi dan minat.

Abdul Khabir Mohd Ali, 50, berkata, kejayaan merakam gambar panahan kilat yang menemui semua kriteria adalah umpama bonus kepada semua peminat fotografi genre itu.

Dia yang sudah 17 tahun berjinak dalam genre fotografi kilat itu berjaya merakam gambar unik panahan kilat seakan berakar di puncak bangunan ikonik negara, Menara KLCC.

"Gambar dirakam itu tambah menarik dengan adanya bentuk awan seakan permainan pacman," katanya.

"Gambar itu sememangnya unik dan luar biasa. Apabila dimuat naik melalui akaun khas collector house untuk dijual, gambar itu segera dibeli oleh pembeli di luar negara dalam masa beberapa jam sahaja.

"Bagi yang menghargai seni fotografi, mereka sanggup membayar hingga puluhan ribu ringgit, semua itu ternyata berbaloi dengan usaha dan keringat dicurahkan," katanya kepada Harian Metro.

Jurugambar Kilat, Abdul Khabir Mohamed Ali. FOTO Saifullizan Tamadi
Jurugambar Kilat, Abdul Khabir Mohamed Ali. FOTO Saifullizan Tamadi

Menurut Abdul Khabir lagi, di Malaysia, genre fotografi kilat atau ribut bukan asing bagi penggemar seni fotografi di negara ini.

"Golongan ini memiliki kelompok komuniti tersendiri dikenali sebagai Geng Kabel Oren.

"Ibu negara sememangnya menjadi lokasi tumpuan berikutan memiliki banyak bangunan pencakar langit yang ikonik seperti Menara Berkembar KLCC, Menara Kuala Lumpur, Menara Merdeka 118 dan The Exchange 106 (Menara TRX)," katanya.

Menurutnya, sebelum adanya Menara Merdeka 118 atau Menara The Exchange 106, panahan kilat di ibu negara banyak tertumpu di Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur sahaja.

"Namun selepas wujud bangunan lain yang lebih tinggi, tumpuan panahan kilat turut berubah.

"Lokasi umum tumpuan pemburu gambar kejadian kilat biasanya di Changkat Tunku, Bukit Antarabangsa dan Ampang Lookout Point.

"Jika ramalan cuaca dan data menyatakan akan berlaku kejadian kilat di ibu kota, di lokasi berkenaanlah biasanya 'pemburu' gambar kilat akan berada," katanya yang turut merakam fenomena kejadian alam lain di sekitar ibu negara.

Dalam pada itu, Abdul Khabir berkata, dia biasanya akan merancang setiap pergerakannya untuk mendapatkan hasil gambar yang menarik.

Katanya, kejayaan merakam gambar panahan kilat yang lengkap, berkualiti dan memenuhi kriteria spesifik bukan disebabkan tuah semata-mata.

Sebaliknya seseorang jurugambar itu perlu mempunyai ilmu terutama berkaitan fotografi, data kaji cuaca selain menguasai kemahiran serta teknik yang diperlukan.

"Saya tidak akan membazirkan masa keluar rumah tanpa perancangan yang teliti kerana setiap masa adalah berharga.

"Ini kerana kita tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata berikutan kecanggihan dunia teknologi hari ini dapat membantu memberi maklumat yang diperlukan.

"Kejadian kilat umpamanya, setiap penahan petir di sesuatu lokasi mempunyai corak tersendiri. Dengan bantuan aplikasi berpandukan kepada maklumat satelit, kita boleh menjangkakan waktu sebenar serta lokasi kejadian kilat berlaku," katanya.

Sementara itu Abdul Khabir mengakui, sebagai manusia, pemburu gambar kilat juga tidak boleh melawan aturan Yang Maha Esa.

Kadangkala, katanya, semua data cuaca sudah lengkap dianalisis dan jurugambar juga sudah bersedia dengan kelengkapan kamera namun kilat yang ditunggu tidak muncul tiba.

"Kita tidak boleh mengawal kejadian alam dan ketika merakam gambar kilat, jurugambar juga diingatkan sentiasa berwaspada.

"Ada panduan yang perlu diikuti misalnya berada di kawasan selamat ketika hujan dan kilat berlaku serta elakkan mendedahkan diri kepada bahaya.

"Hari ini teknologi fotografi semakin canggih, jurugambar tidak perlu lagi secara manual merakam semua momen itu sebaliknya akan dibantu oleh peralatan khas yang dapat mengesan cahaya kilat dan kamera dapat segera merakamnya," katanya.

Jelasnya, dengan merakam gambar fenomena itu, dia juga berharap dapat mendidik masyarakat supaya lebih peka kepada perubahan alam sekitar.

"Ini kerana dunia sedang mengalami kesan pemanasan global dan Malaysia juga tidak terkecuali.

"Jika kita sedari, banyak fenomena yang sebelum ini jarang berlaku, tetapi kini semakin kerap berlaku.

"Jadi, dengan gambar dan bukti yang ada, kita boleh bersedia pada masa depan," katanya.

27,425 panahan kilat

Angka luar biasa apabila Malaysia menerima panahan kilat sebanyak 27,425 kali dalam tempoh lima tahun antara 2019 hingga 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Helmi Abdullah berkata, data itu direkodkan di 41 Stesen Meteorologi utama di seluruh negara.

Beliau berkata, Stesen Meteorologi Sepang mencatatkan bilangan hari panahan kilat paling tinggi di Malaysia dalam tempoh berkenaan iaitu sebanyak 1,645 hari.

"Selain itu, rekod METMalaysia juga menunjukkan Stesen Meteorologi Subang mencatat panahan petir tertinggi iaitu 362 hari setahun pada 1987.

"Musim puncak kejadian petir di negara ini adalah pada Mei iaitu semasa fasa peralihan monsun.

"Keadaan atmosfera yang tidak stabil pada waktu itu membolehkan pembentukan lebih banyak awan kumulunimbus yang turut menggalakkan kepada kejadian kilat," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Penerimaan petir sebanyak itu meletakkan Malaysia antara negara yang menerima panahan petir tertinggi di dunia.

Sementara itu, berdasarkan maklumat di laman sesawang perkhidmatan meteorologi kebangsaan United Kingdom, Met Office, Lake Maracaibo di Venezuela adalah lokasi di dunia yang menerima paling banyak panahan petir.

Lokasi terbakar, bermandi hujan antara cabaran

Panahan kilat yang melintasi atas kepala dan menyambar lokasi berhampiran hingga terbakar berasap adalah antara pengalaman biasa dilalui geng pemburu gambar kilat.

Seorang ahli kumpulan itu, Muhammad Zairul Mohd Puad, 35, berkata, cabaran sering bermandi hujan selain perlu menunggu berjam-jam lamanya adalah harga perlu dibayar pencinta fotografi kilat sepertinya.

Baginya, semua pengalaman sewaktu mengejar gambar kilat memberi kepuasan tersendiri dan mencetuskan keterujaan deruan adrenalina yang sukar digambarkan.

"Untuk merakam gambar panahan kilat yang cantik dan berkualiti memerlukan masa yang panjang untuk menunggunya, namun ia datang dan pergi dalam sekelip mata sahaja.

JURUGAMBAR merakam gambar kilat yang berlaku di ibu kota. FOTO Ihsan MUHAMMAD ZAIRUL MOHD PUAD
JURUGAMBAR merakam gambar kilat yang berlaku di ibu kota. FOTO Ihsan MUHAMMAD ZAIRUL MOHD PUAD

"Namun apabila berjaya merakamnya, perasaan puas hati sukar digambarkan. Tidak mudah untuk merakam kejadian petir yang berlaku amat pantas.

"Gambar yang lengkap dengan beberapa kriteria diperlukan seperti latar belakang landskap, formasi awan, panahan kilat yang lengkap (berekor) dan bonus kehadiran pelangi dalam satu masa dianggap 'kombo Jackpot' yang diidamkan semua pemburu gambar kilat," katanya.

Menurut eksekutif kreatif itu lagi, mengambil gambar kilat hanyalah sebagai hobi pada waktu lapang atau hujung minggu kerana terikat dengan kerja hakikinya,

Namun, sejak dua tahun kebelakangan ini, dia mula serius memburu gambar kilat selepas melihat gambar yang dirakam 'otai' bidang berkenaan, Abdul Khabir Mohd Ali.

"Demi hobi ini, saya melabur hampir RM30,000 untuk memiliki kelengkapan fotografi termasuk membeli kamera model A9 dari jenama Sony termasuk lensa dan alat khas yang dapat mengesan panahan kilat.

"Selain itu, saya juga menggunakan telefon pintar dan hasilnya juga tidak kurang mengagumkan.

"Untuk mendapatkan gambar yang cantik dan berkualiti, memang kami pemburu gambar kilat perlu melabur sedikit untuk membeli peralatannya," katanya.

Dalam pada itu, meskipun pernah berjaya merakam gambar tiga panahan kilat pada Menara Kuala Lumpur, Menara KLCC dan Menara PNB dalam satu masa namun Muhammad Zairul berkata dia tidak menjualnya.

Katanya, gambar berharga itu hanyalah untuk simpanan koleksinya dan ketika ini dia mahu mendalami ilmu genre fotografi itu terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh.

"Memang diakui gambar panahan kilat yang unik dan menarik bernilai tinggi jika dijual ke pasaran antarabangsa namun saya masih baharu dalam bidang ini,.

"Masih banyak yang perlu dipelajari daripada orang lama.

Apabila sudah cukup ilmu di dada, barulah boleh komersial hasil karya.

"Bidang fotografi kilat ini semakin mendapat tempat dan kami juga memiliki kelompok komuniti sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:00 PM