BERANI aksi Muhammad Khaidhir.
BERANI aksi Muhammad Khaidhir.
Nurul Husna Mahmud


MINAT Muhammad Khaidhir Arif Chek Mat @ Chemat, 35, terhadap ular tidak sekadar memelihara haiwan eksotik itu semata-mata.

Sebaliknya rasa ingin tahu yang mendalam terhadap spesies reptilia itu 'membawanya' ke seni fotografi makro.

Menerusi lensa, butiran kecil, perincian dan karakter haiwan terakam menjadi penghayatan beliau terhadap ular dan beberapa spesies eksotik lain dalam bentuk fotografi.

Menerusi hobi atau minatnya itu, kini jurugambar hidupan liar itu memiliki lebih 10 ribu koleksi peribadi foto makro ular dan serangga.

"Saya bermula pada 2016 menggunakan telefon pintar tetapi hasilnya kurang memuaskan bagi peminat fotografi makro seperti saya.

"Dua tahun kemudian saya beralih menggunakan kamera pantulan lensa tunggal digital atau DSLR dan menghasilkan kotak cahaya ('speedlight diffuser') serba guna bagi memudahkan urusan merakam gambar ketika di dalam hutan.

"Saya masuk hutan lebih kerap pada sebelah malam kerana sesetengah ular lebih aktif. Pada sebelah siang pula saya akan cas semua kelengkapan terutama kamera, lampu suluh dan mikrofon.

JELAS perincian ular terutama warna dan tekstur dirakam lensa makro.
JELAS perincian ular terutama warna dan tekstur dirakam lensa makro.

"Selain memotretkan gambar haiwan, saya juga membuat video untuk saluran Youtube sendiri.

"Pada saya ia bermanfaat bukan hanya penggiat fotografi makro mahupun pencinta haiwan tetapi juga untuk orang ramai," katanya.

Tambah Muhammad Khaidhir, subjek pertama sejak dia mengenali dunia fotografi adalah ular dan kini berkembang kepada serangga, burung dan haiwan mamalia.

"Saya tertarik kepada ular sejak kecil lagi, cuma ketika saya masih kecil ada kekangan. Selepas bekerja sendiri baru mula mengumpul ular dan beberapa jenis serangga.

"Malah saya juga kolaborasi dengan pakar di Malaysia termasuklah Pakar Perubatan Kecemasan Profesor Madya Dr Ahmad Khaldun Ismail untuk kursus pertolongan cemas, First Aid Course for Snakebite (FACS) sebagai pakar identifikasi ular.

HAMPIR pupus Anomochilus leonardi.
HAMPIR pupus Anomochilus leonardi.

"Saya juga berkongsi berkenaan spesies ular pada orang awam di Facebook, ID Ular Malaysia supaya lebih ramai memahami reptilia itu," katanya.

Fotografi makro juga banyak membantu memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan Muhammad Khaidhir mengenai ular.

"Saya suka mengambil gambar terperinci bagi bahagian kepala, badan, ekor sebab ia bahagian yang sangat penting bagi pengecaman.

"Malah saya juga 'pemburu ular' yang sukar dijumpai bagi dirakam fotonya. Spesies Malaysia yang sangat sukar dijumpai antaranya ialah Indosmodicinus bengalensis yang sebelum ini dikatakan hanya pernah dijumpai di India dan China.

"Saya dapat merakam foto spesies ini di Johor ketika mengikuti Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan yang dianjurkan Jabatan Perhutanan Negeri Johor," katanya.

Pencapaian lain termasuklah berjaya merakam gambar beberapa spesies ular 'super rare' yang 'ghaib' 60 tahun lamanya dan dijumpai semula di salah satu negeri di utara Malaysia.

INDOSMODICINUS indosmodicinus bengalensis jarang ditemui.
INDOSMODICINUS indosmodicinus bengalensis jarang ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 6:30 AM