TENGKU Yasmin (kanan) bersama ibunya, Nik Elin (kiri) ketika meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya, 9 Februari lalu. FOTO Arkib NSTP
TENGKU Yasmin (kanan) bersama ibunya, Nik Elin (kiri) ketika meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya, 9 Februari lalu. FOTO Arkib NSTP
Wartawan BH

Kuala Lumpur: Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, berharap lebih banyak perkara positif akan berlaku susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan pindaan undang-undang jenayah Syariah Kelantan.

Melalui aplikasi X, Tengku Yasmin, 26, berkata, pihaknya mendapat tahu bahawa terdapat usaha untuk menyelaraskan undang-undang Syariah di negara ini.

"Harapannya, banyak perkara positif muncul hasil daripada petisyen kami dan kepada rakyat Malaysia, saya harap anda boleh menghargai kemenangan kecil kami," katanya.

Tengku Yasmin dan ibunya, peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, mengemukakan petisyen pada 25 Mei 2022, bagi mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Dua peruntukan yang masih kekal (Berperlembagaan) dalam senarai itu adalah menjual atau memberikan anak kepada bukan Muslim atau Muslim yang tercemar akhlak (Bahagian 13) dan perkataan yang mampu mengganggu keamanan (Bahagian 30).

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen itu.

Pada masa sama, Tengku Yasmin berkata, beliau bukan sahaja tidak cukup tidur malah tidak mempunyai selera makan sejak empat hari lalu.

"Walaupun keputusan 8-1 memihak kepada petisyen kami, saya tidak berasa ia terbaik. Walaupun kemenangan undang-undang ini mengesahkan merit cabaran kami seperti yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Namun ia agak memilukan kerana wujudnya penafsiran salah yang dirancang oleh pihak tertentu dengan memutarbelitkan hakikat sebenar usaha kami," katanya.

Mengimbau kembali tempoh enam bulan lalu, Tengku Yasmin berkata, ketika pertama kali kes itu ditularkan peguam berkaitan dengan parti politik tertentu, kedua-dua mereka menerima ancaman bunuh dan takfir (sikap seseorang yang mudah menuduh orang lain keluar dari Islam) dari golongan itu.

"Penulisan beliau (Nik Elin) sebelum ini dimanipulasi dengan sangat teruk, diambil dari konteks untuk menggambarkan beliau sebagai liberal.

"Pemalsuan karakter yang sengaja ini, dirancang untuk memenuhi kehendak tertentu, mencerminkan sejauh mana musuh merendahkan usaha kami," katanya.

Tengku Yasmin berkata, penting untuk diketahui bahawa usaha mereka hanya berniat untuk mematuhi proses yang sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang.

Malah, pihaknya turut menegaskan mereka tidak menerima dana daripada luar bagi proses terbabit walaupun dituduh berbuat demikian.

"Semua kos yang berkaitan ditanggung secara peribadi, melambangkan integriti dan kemandirian usaha kami," katanya.

Beliau berkata, kempen yang dilancarkan menggambarkan mereka sebagai ancaman terhadap kesucian Islam di negara ini.

"Petisyen kami hanya mahukan semakan kehakiman oleh Mahkamah Persekutuan untuk menentukan sama ada Dewan Undangan Negeri (Dun) melampaui kuasa Perlembagaannya, satu prinsip yang terkandung dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

"Sayangnya, lawan kami menggunakan serangan ad hominem (penentangan terhadap manusia), menyerang ibu saya dan cuba mengaitkan kes kami dengan kuasa Raja-Raja Melayu.

"Tindakan itu bukan sahaja salah tetapi juga mencerminkan rancangan sinis untuk memesongkan kebertanggungjawapan kepada institusi yang paling kami hormati.

"Izinkan saya mengulangi dengan tegas kesetiaan dan penghormatan saya yang tidak berbelah bahagi kepada Raja-Raja Melayu," katanya.

Sebelum ini, dalam satu temubual eksklusif dengan podcast New Straits Times Beyond the Headlines yang disiarkan Ahad lalu, Nik Elin mendedahkan bahawa beliau menerima beberapa ancaman bunuh atas cabarannya terhadap peruntukan di bawah undang-undang Syariah Kelantan.

Sehubungan itu, Nik Elin membuat tiga laporan polis mengenai ancaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:46 PM