KAD pengenalan tertera nama uniknya. FOTO Ihsan Baby Girl Ariffin
KAD pengenalan tertera nama uniknya. FOTO Ihsan Baby Girl Ariffin
Redzuan Muharam

Tuaran: "Ramai yang saya jumpa tak percaya. Mereka sangkakan ia nama glamor sedangkan itu adalah nama sebenar saya yang tertera di kad pengenalan," ujar wanita yang memiliki nama unik, Baby Girl Ariffin, 37.

Kisah Baby Girl yang mencari rezeki dengan menjual makanan sarapan mendapat perhatian selepas seorang pengguna Facebook (Fb), Nina Othman berkongsi mengenainya di platform berkenaan.

Bercerita lanjut, Baby Girl yang menetap di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah, berkata, namanya itu bukan diberi oleh ibu atau bapanya, tetapi ibu saudaranya.

"Saya pernah tanya mak cik kenapa beri nama itu kepada saya. Jawabnya, dia (ibu saudara) tidak tahu nak beri nama apa ketika itu... jadi dia pilih nama Baby Girl.

"Saya ada lima adik beradik, saya anak ketiga, namun hanya nama saya seorang sahaja lain daripada yang lain," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurut Baby Girl, sejak kecil hingga dewasa, dia tidak pernah berdepan pengalaman diejek kerana namanya.

Bagaimanapun, Baby Girl mengakui ramai terkejut selepas dia memperkenalkan dirinya dengan nama berkenaan.

"Tak pernah pula kena ejek cuma mereka yang baru berjumpa saya akan terkejut dan bertanya semula untuk kepastian.

"Situasi itu biasanya berlaku selepas saya tulis atau beritahu nama untuk pendaftaran seperti di hospital dan urusan rasmi.

"Mungkin mereka ingat itu nama samaran, namun mereka akan percaya selepas saya tunjukkan kad pengenalan sebagai bukti," katanya.

Baby Girl berkata, dia selesa dengan namanya itu dan tidak pernah terfikir untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membuat permohonan pertukaran nama.

"Saya okey sahaja kerana Baby Girl pun nama yang baik dan bukan membawa maksud buruk. Suami pun tak ada masalah dan dia panggil saya Baby.

"Anak saudara atau mereka yang lebih muda pula akan panggil 'Aunty Baby' atau Kakak Baby," katanya yang tidak menyangka kisahnya akan tular selepas hampir empat dekad menggunakan nama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 8:00 AM