NUR Shamsinar Saiful tidak menganggap kekurangan diri sebagai pematah semangat. FOTO Ihsan Nur Shamsinar Saiful
NUR Shamsinar Saiful tidak menganggap kekurangan diri sebagai pematah semangat. FOTO Ihsan Nur Shamsinar Saiful
Redzuan Muharam


Ipoh: "Saya tak kisah pun orang nak kata apa malah tak malu pun dengan keadaan diri," kata penuntut semester satu Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Nur Shamsinar Saiful.

Nur Shamsinar, 18, dilahirkan dengan klef atau sumbing namun pernah menjalani pembedahan ketika berusia enam bulan.

Kesan pembedahan dijalankan masih ada dan kelihatan pada bibir, hidung serta struktur giginya.

Bagaimanapun, Nur Shamsinar yakin dengan penampilannya dan terbukti apabila aktif memuat naik video di TikTok bagi mengetengahkan diri.

"Saya anak kedua daripada empat beradik dan dalam keluarga, hanya saya seorang saja yang dilahirkan begini.

"Selepas pembedahan semuanya okay cuma baru-baru ini ada berjumpa dengan doktor gigi untuk bincang mengenai pembedahan.

"Ia kerana struktur gigi saya yang tidak tersusun tapi jujurnya saya okay saja kerana sudah biasa dengan penampilan begini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nur Shamsinar berkata, individu sekeliling terutama rakan dan keluarga sangat positif serta menerima dirinya dengan seadanya.

Katanya, sokongan individu terdekat itu yang membuatkannya bersemangat untuk menjalani kehidupan seharian.

"Setakat ini, saya tak pernah diejek atau dapat gelaran yang tidak baik cuma setakat diusik itu memang ada.

"Keluarga terima, kawan pun okay malah mereka suka berkawan dengan saya.

"Saya tak suka tunjuk kelemahan diri dan bagi saya, setiap orang unik, ada kelebihan juga kekurangan.

"Cuma, jangan berasa terlalu rendah diri dengan kekurangan yang ada sebaliknya perlu bersyukur kerana percayalah, ada orang di luar sana nak jadi macam kita," katanya.

Berhubung perkongsian di TikToK, Nur Shamsinar berkata, dia mula aktif di platform berkenaan sejak Februari lalu.

"Saya aktifkan akaun untuk suka-suka saja dan tak kenal sesiapa pun.

"Tapi bersyukur kerana terima banyak komen positif dengan rata-ratanya beri semangat malah ada yang kata saya cantik walaupun tak pernah anggap diri begitu.

"Terharu rasanya kerana di dalam dan luar video, saya hanya jadi diri sendiri. Itu lebih baik kerana untuk apa jadi orang lain?," katanya yang pernah menyimpan impian menjadi anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 9:37 PM