AZROY Hazalwafie masih boleh mengemukakan rayuan secara bertulis membabitkan keputusan itu kepada Adamas dalam tempoh 21 hari. FOTO NSTP
AZROY Hazalwafie masih boleh mengemukakan rayuan secara bertulis membabitkan keputusan itu kepada Adamas dalam tempoh 21 hari. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Masa depan dua atlet angkat berat negara yang didapati positif doping sebelum ini boleh dikatakan agak malap apabila mereka dijatuhi hukuman penggantungan empat tahun daripada sebarang penyertaan sukan.

Menerusi kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa dua atlet berkenaan masing-masing Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, 27, dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari,19, didapati melanggar artikel 2.1 dan 2.2 Peraturan Anti Doping Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) sekali gus dikenakan hukuman penggantungan itu berkuat kuasa 17 Julai lalu.

Menurutnya, kedua-dua sampel diuji menerusi Dapatan Analisis Memudaratkan (AAF) untuk bahan terlarang sebelum didapati mengandungi metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah senarai terlarang Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

"Kedua-dua kes ini dikendalikan selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Peraturan Anti Doping Adamas 2021 yang mana hak atlet diberi keutamaan untuk keadilan termasuk hak untuk didengar, pendengaran adil oleh panel bebas daripada operasi Adamas.

"Selaras dengan peraturan Anti Doping Adamas 2021 dan Kod Anti Doping Dunia 2021, panel pendengaran Anti Doping Malaysia memutuskan kedua-dua atlet itu membuat perlanggaran artikel 2.1 dan 2.2 Peraturan Anti Doping Adamas," katanya dalam kenyataan kepada media sebentar tadi.

Terdahulu, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan Azroy yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 dan Ikram yang baru diserapkan ke dalam skuad kebangsaan didapati positif anabolic steroid.

Mereka berdepan hukuman maksimum empat tahun jika didapati bersalah dan ini bermakna Azroy akan terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya di Komanwel Gold Coast 2018 tahun depan di Birmingham.

Kes berkenaan juga membawa kepada pembubaran skuad kebangsaan negara dengan ketika ini persatuan terbabit lebih menumpukan kepada atlet pelapis untuk mewakili negara.

Sementara itu, KBS juga memaklumkan bahawa kedua-dua atlet berkenaan boleh mengemukakan rayuan secara bertulis membabitkan keputusan itu kepada Adamas dalam tempoh 21 hari untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 6:11 PM