LIRIKAN lebih menggoda dengan bulu mata palsu.
LIRIKAN lebih menggoda dengan bulu mata palsu.
Siti Zarinah Sahib

SEJUJURNYA semua wanita inginkan wajah yang cantik dan penampilan menarik. Sebab itu pelbagai produk tambahan digunakan bagi mencantikkan diri.

Antaranya bulu mata palsu yang memberikan hasil penampilan menakjubkan. Ia bukan sahaja membuatkan mata galak menawan, tetapi tampalan bulu mata tiruan ini menjadikan lirikan mata lebih indah, hidup dan menarik.

Menurut jurusolek profesional, Aidawati Abd Hamid, dalam kalangan wanita Melayu, bulu mata menjadi satu kemestian terutama jika ingin menghadiri majlis istimewa atau perkahwinan.

“Ini kerana rata-rata mereka tidak memiliki bulu mata yang lentik dan panjang. Jadi bulu mata palsu mampu berfungsi seperti bulu mata asal selepas dioles maskara dan celak bagi menutupi kesan lekatannya,” katanya.

Namun perlu tahu cara memakainya kerana jika salah teknik bulu mata boleh tertanggal tanpa disedari. Bagi yang kurang mahir sudah pasti tidak mampu memakai sendiri tanpa meminta bantuan orang lain.

“Memakai bulu mata tiruan memang nampak cantik, tetapi perlu dilakukan berhati-hati bagi memastikan lekatannya kuat. Namun ia boleh juga dipakai sendiri asalkan peralatan seperti gam, penyepit bulu mata, sisir halus bulu mata, maskara, pembayang mata dan celak disediakan terlebih dulu,” katanya.

Bulu mata tiruan adalah peringkat pertengahan dalam solekan. Sebaik-baiknya individu perlu menyolek wajah lengkap sehingga ke solekan mata. Kemudian ukur bulu mata bagi memastikan ukurannya sepadan. Ini kerana terdapat pelbagai saiz bulu mata di pasaran manakala kepanjangan bulu mata setiap orang berbeza.

“Kemudian potong bulu mata mengikut kesesuaian mata anda. Kemudian gunakan penyepit bulu mata bagi menjadikan bulu mata lebih lentik.

“Pelekat disapu secara lembut dan biarkan 30 saat atau satu minit bagi memastikan pelekat ini separuh kering. Lekatkan pada bahagian atas bulu mata sama ada menggunakan tangan atau alat khas pinset supaya hasilnya lebih rapi dan tepat. Mulai memasang bulu mata dari sudut dalam mata kemudian perlahan-lahan bergerak ke arah sudut luar mata,” katanya.

Sejajarkan garis bulu mata palsu dengan garis bulu mata asli. Kemudian lakukan cara ini pada kedua-dua mata dan biarkan sehingga pelekat kering,” katanya.

Apabila bulu mata kelihatan kuat (tidak tanggal), oles maskara agar penampilan lebih indah. Maskara berfungsi menyatukan bulu mata asli dengan bulu mata palsu, sehingga lebih semula jadi, hitam dan lebat.

Kemudian sapu celak pada bahagian atas bagi menutup pelekat bulu mata dan mencantikkan mata anda. Pembayang mata jangan dilupa dan sebaiknya disapu sebelum mengenakan bulu mata.

1. JENIS bulu mata palsu.

2. SAPUAN pembayang mata sebelum bulu mata palsu dipakai.

GAMBAR 1 dan 2
GAMBAR 1 dan 2

3. LENTIKKAN bulu mata menggunakan penyepit bulu mata.

4. SAPUKAN gam pada bahagian atas garis bulu mata.

GAMBAR 3 dan 4
GAMBAR 3 dan 4

5. LEKAT bulu mata dengan teliti.

6. UNTUK kesan menyerlah layangkan maskara.

GAMBAR 5 dan 6
GAMBAR 5 dan 6

7. MATA lebih menawan kesan pemakaian bulu mata palsu.

GAMBAR 7 dan 8
GAMBAR 7 dan 8

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:30 AM