BERUS bulu mata cara memanjangkan bulu mata.
BERUS bulu mata cara memanjangkan bulu mata.
Nurul Husna Mahmud


Memiliki bulu mata yang panjang dan tebal sering dikaitkan dengan simbol kecantikan, feminin dan tuah.

Malah dalam kepercayaan masyarakat tertentu berpegang kuat jika memiliki bulu mata yang panjang dan tebal boleh mengusir 'anasir' jahat terutama gangguan makhluk halus.

Sebahagian pula percaya memiliki bulu mata panjang dan tebal juga boleh menentukan kedudukan dari segi kekayaan dan status dalam masyarakat.

Tidak dinafikan pandangan universal mengenai wanita memiliki bulu mata yang panjang adalah cantik.

Jika elemen itu tidak penting, tiadalah penciptaan maskara atau celak bagi membantu mencipta ilusi mendapatkan bulu mata yang panjang.

Dalam petua orang terdahulu, terdapat beberapa amalan dapat membantu wanita memiliki bulu mata cantik.

Seperti penjagaan rambut, bahan tertentu dipakai sebagai rutin amalan penjagaan bulu mata boleh membantu memiliki bulu mata panjang dan tebal.

Berikut beberapa amalan yang boleh diamalkan wanita dalam mendapatkan bulu mata panjang dan cantik.

PENGGUNAAN celak dan maskara menghasilkan visual bulu mata panjang.
PENGGUNAAN celak dan maskara menghasilkan visual bulu mata panjang.

1. Sikat bulu mata

Rambut jika disikat memberi urutan lembut pada kulit kepala.

Bagi bulu mata tujuannya hampir sama iaitu meningkatkan aliran darah ke bulu mata sehingga dapat merangsang pertumbuhan bulu mata agar lebih cepat panjang.

Kelebihan lain, ia dapat menyisihkan kotoran terutama mereka yang gemar mengenakan solekan pada mata.

Gunakan berus mata khas atau berus maskara lama yang sudah dicuci.

Sikat bulu mata selama lima hingga 10 minit bermula dari akar hingga ke hujung bulu mata. Boleh lakukan selepas mandi pagi atau petang setiap hari.

PATI minyak zaitun, jojoba dan minyak kelapa digunakan memanjangkan bulu mata.
PATI minyak zaitun, jojoba dan minyak kelapa digunakan memanjangkan bulu mata.

2. Mengoles dengan pati minyak zaitun atau jojoba

Minyak dari sumber semula jadi seperti zaitun dan jojoba mengandungi lemak baik.

Lemak atau protein baik terbabit memberi nutrisi yang diperlukan dalam menjaga kesihatan folikel bulu mata.

Kandungan minyak terbabit juga kaya dengan antioksidan yang sangat berguna supaya bulu mata dapat tumbuh dengan cepat.

Pati minyak ini boleh dicampur dengan minyak beraroma harum seperti rosemary, lavender dan tea tree lain untuk hasil lebih baik.

Kaedah penggunaan minyak ialah dengan oles pada bulu mata sebelum tidur dan biarkan semalaman.

3. Penggunaan vaselin atau jeli petroleum

Vaseline memiliki tekstur berlilin, berminyak dan lembap bukan sahaja baik pada bulu mata malah melembapkan kelopak mata.

Dengan sapukan sedikit vaseline pada berus khas bulu mata, kemudian sikat bulu mata bahagian atas dengan lembut.

Hasil lebih baik sapu vaseline pada kelopak mata dan lakukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali sebulan.

Lebih berkesan, gunakan Vitamin E dengan kaedah sikat pada bulu mata selepas penggunaan vaselin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 6:30 AM