PAKAR terapi berhati-hati melakukan penyambungan bulu mata pelanggan.
PAKAR terapi berhati-hati melakukan penyambungan bulu mata pelanggan.
Siti Zarinah Sahib

Tanpa sedar helaian bulu mata sebenarnya menjadi aset penting dalam penampilan. Sama seperti rambut yang menjadi mahkota wanita, setelah ditatarias dan dirapikan dengan baik, bulu mata memberikan hasil penampilan yang menakjubkan.

Untuk itu wanita menggunakan maskara dan alat penyepit bulu mata bagi memperoleh bulu mata yang panjang, lebat dan lentik. Namun kini ada gaya terkini menjadi ikutan iaitu rawatan sambungan bulu mata yang sangat diminati wanita, khususnya mereka yang mementingkan kecantikan.

Sebagai contoh Jepun sangat terkenal dengan rawatan penyambungan bulu mata, malah salun bulu mata terkenal Blanc menyediakan perkhidmatan premium untuk pelanggan dengan kesan menyerlah.

Diasaskan oleh Haruyuki Yamashita pada 2009, salun ini mempunyai 128 cawangan termasuk di Thailand, Hong Kong, Singapura, Vietnam, China dan kini dibuka di Kuala Lumpur.

Blanc yang bermaksud putih dalam bahasa Perancis, mencerminkan kualiti, kemewahan dan kesucian dalam perkhidmatannya. Dengan memberi tumpuan kepada salah satu simbol yang paling penting dalam kewanitaan, Blanc dikenali di seluruh dunia sebagai pakar dalam perkhidmatan penyambungan bulu mata.

Untuk itu, Blanc menawarkan perkhidmatan yang teliti daripada pereka bulu mata yang dilatih secara meluas, mempunyai sijil dan lesen bagi memastikan perkhidmatan diberikan selamat dan profesional kepada pelanggan.

Menurut Yamashita dengan pelancaran salun terbaru di Kuala Lumpur, Blanc berharap dapat menunaikan impian wanita Malaysia yang ingin menyerlahkan kecantikan semula jadi mereka.

“Ramai wanita ingin mendapatkan bulu mata yang lentik dan panjang. Oleh itu adalah lebih baik sekiranya mereka mendapatkan maklumat daripada pakar sebelum melakukan prosedur ini bagi mengelak daripada masalah radang terutama mereka yang memiliki kulit sensitif,” katanya.

Malah proses melakukan perawatan ini dapat dibuat dengan cepat sekiranya pelanggan mengetahui secara terperinci mengenai kesan dan risikonya.

Walaupun harganya mahal berbanding memakai bulu mata palsu, tetapi ketahanannya jauh lebih lama dan hasilnya tampak lebih semula jadi.

“Setiap pereka bulu mata daripada Blanc mengikuti kursus sambungan bulu mata dan setiap pereka mesti lulus peperiksaan standard umum. Semua produk berkualiti tinggi dan diimport dari Jepun. Ia diperbuat daripada serat sintetik premium dan kualitinya hampir sama dengan bulu mata sebenar. Bulu mata sangat ringan, kuat dengan tahap sederhana bersinar. Ia menampakkan kesan semula jadi,” katanya lagi.

Pelekat bulu mata pula sangat selamat. Ia lembut kepada mata dan tidak menyebabkan kerengsaan atau kerosakan kepada bulu mata semula jadi.

Selain rawatan penyambungan bulu mata, Blanc juga memberi tumpuan kepada khidmat perundingan termasuk penjagaan secara terperinci. Pereka akan berbincang dengan pelanggan mengenai keperluan dan mencadangkan reka bentuk yang sesuai dengan wajah dan bentuk mata.

“Selepas rawatan dijalankan, ia membuatkan mata kelihatan lebih besar dan cantik. Kelopak mata kendur akan kelihatan lebih kukuh. Juga membantu menjimatkan masa dengan solekan anda. Malah wanita kelihatan hebat walaupun tanpa solekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 5:52 AM