ZARA Zya. FOTO Hafiz Sohaimi
ZARA Zya. FOTO Hafiz Sohaimi
Norhayati Nordin

Selepas mendapat jolokan ‘ratu drama’ masa kini, pelakon Zara Zya, 33, mungkin akan menerima satu lagi gelaran baru.

Ia barangkali ‘ratu bulu mata’, seangkatan jolokan yang pernah diterima pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja dan Rozita Che Wan (Che Ta).

Ini kerana Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin memberitahu dia kini selesa dengan memakai bulu mata palsu untuk ke mana saja.

“Saya makin selesa memakai bulu mata palsu sejak membintangi drama 80 episod, Monalisa yang diadaptasi daripada siri popular Korea pada 2013, Two Women’s Room.

“Sudah beberapa bulan saya biasakan diri memakai bulu mata palsu untuk menzahirkan watak Melissa, wanita moden yang bekerja dalam bidang perhotelan.

“Pada mulanya rimas juga, tetapi lama-kelamaan saya makin suka dan selesa. Kini ke mana saja saya pergi, mesti pakai bulu mata palsu,” katanya.

Menurut Zara, sebagai selebriti yang menjadi perhatian masyarakat dia perlu menjaga penampilan.

Katanya, dia akan berdandan sebelum keluar rumah untuk bertemu rakan, bersiar-siar atau berkunjung ke pusat beli-belah.

“Saya cuma tidak memakai bulu mata palsu kalau ke pasar. Jika ke tempat lain ia satu kemestian buat masa ini.

“Bagi saya imej dan penampilan yang bergaya amat penting buat selebriti.

“Saya dulu pun, pada awal kemunculan untuk drama Love You Mr Arrogant mengakui kurang menitikberatkan penampilan.

“Namun, belajar daripada pengalaman, saya mula sedar penampilan menawan amat penting,” katanya.

Apatah lagi buat selebriti wanita kerana fitrah manusia sememangnya sukakan benda cantik dan menarik.

Mengulas lanjut watak Melissa, Zara berkata dia sudah bersedia berdepan dengan apa saja kritikan penonton.

“Drama Monalisa diadaptasi daripada siri popular Korea, Two Women’s Room yang ada ramai peminat di Malaysia.

“Saya sudah berikan yang terbaik bagi menzahirkan karakter ini. Namun, jika ada yang mengkritik dan mengecam, saya boleh terima dengan hati terbuka,” katanya.

ZARA Zya. FOTO Hafiz Sohaimi
ZARA Zya. FOTO Hafiz Sohaimi

Menurut anak bongsu ini, dia sudah dihentam netizen di laman Instagram (IG) miliknya kerana mewarnakan rambut.

Menurut Zara, tindakan itu bukan suka-suka sebaliknya memenuhi tuntutan kehendak watak Melissa.

“Walaupun saya sudah jelaskan di kapsyen gambar rambut perang ini untuk watak Melissa dalam drama Monalisa, mereka masih kecam.

“Memang teruk saya kena hentam dengan netizen. Mula-mulanya malas nak ambil tahu, tetapi lama-kelamaan ia sangat menguji kesabaran saya,” katanya.

Menurut Zara, meskipun sedar kritikan itu cabaran untuknya sebagai pelakon, bahasa yang dilontarkan perlulah beradab.

Ujar Zara, dia sedia maklum kebanyakan netizen yang suka mengecam di laman sosial terdiri daripada pelajar sekolah.

Bakal tampil single solo, Hilang

Biarpun minatnya terhadap dunia lakonan sangat mendalam, Zara enggan melepaskan peluang mengembangkan bakatnya dalam cabang seni lain.

Oleh itu, pelakon drama Tuan Anas Mikael itu bakal muncul dengan single solo pertamanya tidak lama lagi.

Single yang dicipta komposer berpengalaman itu mendapat sentuhan lirik Iman Imran.

Berbicara mengenai single itu, Hilang, Zara berkata dia kini sangat teruja untuk merakamkannya.

“Bagaimanapun, jadual lakonan saya masih padat lagi. Jadi, saya perlu mencari masa sesuai untuk rakam.

“Namun, ia tidak akan saya lakukan dengan terburu-buru dan biarlah mengikut perancangan yang diatur.

“Saya mahukan hasil rakaman yang baik dan berkualiti memandangkan pendengar muzik masa kini sangat bijak,” katanya.

Zara berkata sebagai individu yang komited pada karier seni, dia ingin pastikan single itu berjaya menambat hati pendengar.

“Dalam soal ini, apa yang perlu dilakukan adalah membuktikan kepada pendengar dan peminat bahawa saya boleh menyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 7:10 AM