Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu kereta Perodua Bezza yang rosak dalam tempoh lapan jam selepas dibeli seorang kerani.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman Jaafar berkata, pihaknya memberi jaminan bagi mengutamakan kes pelanggan itu.

"Pihak Perodua sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu.

"Sejak itu, kami mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan isu termasuk menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan membeli semula kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kegembiraan memiliki kereta yang baharu dibeli bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang kerani apabila Perodua Bezza yang dibelinya itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih malang, Nagakanni Subramaniam terpaksa membayar pinjaman bulanan 'kereta baharunya' itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.

Selepas kejadian itu, dia memohon mendapatkan gantian kereta baharu dengan beberapa kali dihubungi pihak Perodua bagi pelbagai proses sebelum terbaharu pada 8 Disember lalu dimaklumkan ibu pejabat belum boleh memberi persetujuan mengenai perkara itu.

Nagakanni dilaporkan berkata, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang jawapan daripada pengeluar kereta itu walaupun tempoh telah melebihi dua bulan.

Mengulas lanjut, Rozman berkata, Perodua menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu terbabit.

"Siasatan menyeluruh berhubung isu itu sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai," katanya.

Katanya, Perodua memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih atas kerjasama diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 10:38 PM