FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jualan kenderaan dijangka memberangsangkan tahun ini dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dengan meletakkan sasaran jualan sekitar 247,800 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, permintaan bagi kenderaan keluarannya meningkat ketika ini, disokong insentif pengecualian cukai jualan yang memacu jualan.

Beliau berkata, jaminan kerajaan bahawa tiada lagi sekatan pergerakan akan menjadi tahun kebangkitan semula industri automotif.

"Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) juga dijangka meningkat sebanyak 610,000 iaitu 40.6 peratus berbanding 37.4 peratus pada tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran 600,000 TIV yang ditetapkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

"Tahun lalu, kami menjual 190,291 kenderaan iaitu 13.6 peratus kurang, berbanding 220,163 kenderaan yang didaftarkan pada 2020.

"Bagi tahun ini, kami menjangkakan menghasilkan 265,900 kenderaan iaitu 37.5 peratus lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan yang dikeluarkan pada 2021.

"Peningkatan dalam pengeluaran akan mengakibatkan peningkatan sumber tempatan Bahagian Automotif sebanyak 41.5 peratus kepada RM7.5 bilion berbanding RM3.5 bilion pada tahun lalu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Meskipun berdepan cabaran tahun lalu, Zainal berkata, permintaan semua model kenderaannya kekal kukuh dengan Myvi mencatatkan jualan tertinggi iaitu 47,525 unit, diikuti Axia (43,080 unit), Bezza (42,698 unit), Ativa (26,847 unit), Aruz (15,313 unit) dan Alza dengan 14,828 unit.

Katanya, inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan kerajaan masih menjadi insentif yang sangat baik untuk pengguna membeli kereta baharu.

"Tempahan kami untuk kenderaan baharu amat baik dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan, bermakna kami dapat memenuhi tempahan tertunggak tepat pada masanya," katanya.

Mengulas prestasi 2021, beliau berkata, tahun berkenaan mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berdepan dengan pelbagai krisis sepanjang tahun.

"Kami belajar banyak daripada situasi ini dan memasukkan tindak balas yang berkesan untuk memastikan kami akan dapat menghadapinya dengan lebih baik jika ia berlaku semula," katanya.

Mengenai banjir pada Disember dan awal tahun ini, beliau berkata, Perodua menerima hampir 2,103 kes banjir di seluruh negara, dan 366 kenderaan sudah dibaiki serta dikembalikan kepada pemilik.

Tambahnya, program bantuan banjir Perodua menawarkan diskaun 50 peratus untuk alat ganti asas kenderaan dan kos upah bagi semua penggantian komponen serta servis tunda 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 3:05 PM