RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan pemandu Perodua Bezza yang memandu secara melulu di Jalan Kinabalu di sini, sehingga tular di media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 11.59 pagi Jumaat lalu.

"Polis mengesan video berdurasi 1 minit 23 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook yang memaparkan Perodua Bezza mengubah haluan dan mengundur.

"Kejadian membabitkan kereta berkenaan dan sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu MPV sudah hadir membuat laporan polis dan kini pihaknya sedang mengesan pemandu kereta supaya tampil membuat laporan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat mengenai pemandu kenderaan terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat JSPT Sarjan Mohd Safri Abdullah atau Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 1:16 PM