MD Sazihan bersama kucing kesayangannya yang mendapat perhatian di TikTok. FOTO Ihsan Nurul Hidayah Md Sazihan
MD Sazihan bersama kucing kesayangannya yang mendapat perhatian di TikTok. FOTO Ihsan Nurul Hidayah Md Sazihan
Redzuan Muharam


Sepang: Md Sazihan Suhari asalnya bukanlah pencinta kucing namun kini, haiwan itu yang menjadi peneman dan menceriakan harinya di rumah sejak bersara sebagai polis, awal tahun ini.

Gelagat Md Sazihan, 61, dan kucing kesayangannya yang diberi nama Abang Boboy dan Oyen dapat dilihat menerusi video dimuat naik anak sulungnya, Nurul Hidayah, 31, di TikTok.

Menerusi video itu, kelihatan Md Sazihan mengambil gambar kucingnya yang kelihatan tidak meragam dan seolah mendengar katanya.

Berkongsi kisah itu, Nurul Hidayah berkata, dia yang merakam video berkenaan dan berkongsi untuk suka-suka tetapi tidak menyangka mendapat perhatian hingga meraih lebih 4.2 juta tontonan.

"Saya memang selalu rakam (video) tapi jarang muat naik di TikTok jadi tak sangka boleh tular selepas kongsi video ayah dengan Abang Boboy semalam.

"Kalau nak tahu, ayah sebenarnya tak suka (kucing) tapi kerana kebanyakan masanya kini di rumah jadi sudah nampak ayah sudah sayangkan kucing.

"Emak pun nampak perubahan ayah itu. Kini, ayah dan emak yang sama-sama menguruskan kucing dengan dibantu saya juga adik beradik lain pada waktu lapang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

GELAGAT Md Sazihan bersama kucing kesayangannya yang mendapat perhatian di TikTok. FOTO Ihsan Nurul Hidayah Md Sazihan
GELAGAT Md Sazihan bersama kucing kesayangannya yang mendapat perhatian di TikTok. FOTO Ihsan Nurul Hidayah Md Sazihan

Nurul Hidayah juga menyedari kucing peliharaan di rumah sangat manja dengan ibu dan bapanya.

"Kami memelihara 33 ekor kucing dan kesemuanya jenis mudah dijaga serta tak banyak ragam termasuk Abang Boboy juga Oyen.

"Di depan emak dan ayah lagilah kucing itu semua manja. Sebab itu boleh nampak dalam video Abang Boboy dan Oyen ikut saja kehendak ayah.

"Dua ekor kucing itu macam faham dan ayah pula ibarat bertukar kerjaya kini dengan menjadi jurugambar haiwan kesayangannya di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:01 PM