FATIN bersama tikus belanda peliharaannya yang diberi nama Kalbar. FOTO Hazreen Mohamad
FATIN bersama tikus belanda peliharaannya yang diberi nama Kalbar. FOTO Hazreen Mohamad
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Ramai yang cakap muka saya dan 'Kalbar' (tikus Belanda) seiras serta tingkah laku kami sama. Malah ada yang gelar saya 'ibu' tikus Belanda atau 'guinea pig'," kata Fatin Farhana Ismail.

Fatin Farhana, 30, membela lapan tikus Belanda jenis bulu pendek baka 'American' dan 'Abyssinia' sejak lebih setahun lalu kerana sangat meminati haiwan jenis itu sejak kecil.

Kisahnya yang berkongsi tips membela tikus Belanda di aplikasi TikTok mendapat perhatian warganet terutama pencinta haiwan apabila dia selalu memuat naik video bersama haiwan itu.

Perkongsian video dan penstriman langsung Fatin Farhana berkongsi cerita, tips dan gelagat haiwan peliharaan kesayangannya itu meraih tontonan ramai sehingga mencecah 23 juta tontonan.

Kebanyakan netizen terhibur melihat gelagat haiwan peliharaannya yang dinamakan Kalbar, yang seolah-olah 'berinteraksi' bersama pengikut, selain gelagat Fatin Farhana mengajuk cara menguap haiwan peliharaannya itu.

Farah Farhana berkata, dia tidak pernah terasa hati dengan gurauan netizen yang menyamakan dirinya dengan haiwan itu kerana baginya tikus Belanda itu sudah dianggap seperti anak sendiri.

Menurutnya, selain Kalbar, haiwan peliharaannya itu dinamakan 'Encem', 'Latte', 'Tom' dan 'Cruella' manakala tiga yang masih kecil belum diberikan nama.

KALBAR amat manja dengan Fatin. FOTO Hazreen Mohamad
KALBAR amat manja dengan Fatin. FOTO Hazreen Mohamad

"Saya bahasakan diri sebagai mak kepada semua gtikus Belanda dan yang paling istimewa ialah Kalbar kerana dia selalu bersama ketika buat penstriman langsung di TikTok.

"Kalbar seperti faham situasi sekeliling dan selalu fokus pandang telefon seperti baca komen, malah Kalbar juga banyak peminat dan videonya sudah tular ke Korea, Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Ada satu video saya dan Kalbar terkejut dengar bunyi bunga api dan tingkah laku itu serentak. Ia membuatkan ramai yang suka serta mengatakan kami seiras. Bagaimanapun, saya tidak kisah pun," katanya ditemui di rumahnya di Sentul.

Katanya, aksi Kalbar membesarkan matanya ketika mendapat 'hadiah' ketika membuat penstriman langsung mengundang lucu ramai.

"Ada juga yang menawarkan ribuan ringgit untuk membeli Kalbar namun saya menolaknya dengan baik.

"Saya selalu menghabiskan masa dan bersembang dengan Kalbar, mungkin sebab itu dia agak fokus dan menurut," katanya.

Fatin Farhana yang juga pesakit buah pinggang tahap tiga berkata, jangka hayat tikus Belanda antara empat hingga lapan tahun dan boleh membesar hingga mencapai berat dua kilogram (kg).

Katanya, tikus Belanda mempunyai deria bau dan pendengaran yang peka terutama apabila peti ais dibuka untuk mengambil makanannya dan haiwan itu akan mula bising meminta makanan.

FATIN peruntuk RM300 sebulan untuk keperluan Kalbar. FOTO Hazreen Mohamad
FATIN peruntuk RM300 sebulan untuk keperluan Kalbar. FOTO Hazreen Mohamad

"Saya memperuntukkan RM300 sebulan untuk makanan dan barang keperluan lapan haiwan peliharaan. Tikus Belanda makan sayuran segar sahaja terutama berdaun hijau dan mereka paling suka lobak merah, timun dan salad. Sebab itu najis dan air kencingnya kurang berbau," katanya.

Menurutnya, dia mahu memupuk minat orang ramai membela haiwan itu kerana kira-kira 20 peratus sahaja masyarakat negara ini menjadikan tikus Belanda sebagai haiwan peliharaan.

"Haiwan ini bukan 'rare' tetapi ia sangat jarang dibela dan ramai beritahu tak tahu cara nak belanya, malah ada yang ingat haiwan itu adalah arnab atau 'hamster'.

"Tikus Belanda haiwan yang manja dan mudah dibela, kurang berbau busuk, boleh dimandikan dan mudah dibawa untuk berjalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 7:20 AM