GAMBAR kenangan Allahyarham Mohd Roselan Abd Ghani dan kucing kesayangannya, Ciput Khan. FOTO Ihsan Nur Marsya Raiza Mohd Roselan.
GAMBAR kenangan Allahyarham Mohd Roselan Abd Ghani dan kucing kesayangannya, Ciput Khan. FOTO Ihsan Nur Marsya Raiza Mohd Roselan.
Redzuan Muharam


Shah Alam: Tiada lagi keletah mencuit hati dapat dilihat pengikut Mohd Roselan Abd Ghani dan kucing kesayangannya, Ciput khan di TikTok sejak pemergian lelaki itu, Ahad lalu.

Mohd Roselan meninggal dunia kira-kira jam 11.20 pagi di rumahnya dekat Seksyen 19, di sini disyaki akibat serangan jantung.

Pemergian Mohd Roselan memberi kesan kepada pengikut bapa tiga anak itu yang sebelum ini ternanti-nanti video Allahyarham dengan kucing jantannya, Ciput Khan atau mesra dipanggil Ciput.

Anak sulungnya, Nur Marsya Raiza, 26, yang kerap memuat naik video Mohd Roselan dan Ciput mengakui terkejut dengan pemergian bapanya kerana tidak menunjukkan tanda kurang sihat sebelum meninggal dunia.

"Saya menetap di Kajang, Selangor dan ada pulang ke sini (Shah Alam) malam Sabtu lalu cuma tidak sempat jumpa ketika itu kerana ayah sudah tidur sebaik saya sampai... jadi tak nak mengganggunya.

"Pagi keesokannya, saya jenguk bilik ayah dan nampak dia masih tidur, namun tidak lama kemudian dengar jeritan adik daripada tingkat dua rumah memberitahu ayah tidak bernafas sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kami sekeluarga terkejut kerana ayah sempat keluar dengan mama untuk mengerjakan solat Subuh di masjid sebelum meninggal dunia ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengimbas memori lalu, Nur Marsya Raiza berkata, dia mula memuat naik video keletah bapanya dan Ciput sejak dua tahun lalu iaitu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika PKP lalu, saya saja-saja muat naik video ayah dan Ciput (nama panggilan) tetapi tak sangka pula ramai yang suka.

"Ada juga pengikut minta tip bagaimana melatih kucing seperti yang ayah lakukan kerana suka melihat gelagat Ciput yang pandai dengar kata terutama apabila minta peluk, cium dan menari.

"Penerimaan baik pengikut itu yang mendorong saya rakam dan muat naik video spontan ayah dengan Ciput di TikTok.

"Boleh dikatakan, akan ada satu video saya muat naik dalam tempoh dua hari dan kerana itu ramai terkejut apabila saya maklumkan ayah sudah tiada," katanya.

Menurut Nur Marsya Raiza, Ciput dipelihara sejak 10 tahun lalu dan amat manja dengan bapanya tetapi haiwan itu kelihatan seperti tidak keruan sejak kebelakangan ini.

"Lazimnya, Ciput akan melihat daripada tingkap terutama jika ayah keluar ke masjid untuk solat Subuh.

"Sejak ayah tiada, Ciput seolah-olah tercari ayah dan ada pengikut minta saya lakukan apa yang ayah biasa dengan Ciput.

"Nampaknya Ciput beri respon positif dan saya akan cuba menjaganya dengan sebaik mungkin kerana ketika ayah ada, dia terlalu sayangkan kucingnya itu.

"Kami reda walaupun agak sedih apabila ayah meninggal dunia sebelum sempat menyambut ulang tahun kelahirannya lusa (17 September).

"Apa pun, terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan ayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 8:17 PM