NOR Hafiqah dan kucing kesayangannya, Oyen yang dipelihara sejak enam tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca.
NOR Hafiqah dan kucing kesayangannya, Oyen yang dipelihara sejak enam tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca.
Redzuan Muharam


Sungai Petani: Selepas tiga bulan terpisah, Nor Hafiqah Rosli ditakdirkan bertemu semula kucing kesayangannya, Oyen.

Pertemuan dengan Oyen mengubat kerinduan Nor Hafiqah, 31, yang sering menangis sejak kehilangan kucing jantannya itu baru-baru ini.

Menurut Nor Hafiqah, 31, berkata, Oyen ditemui di Pasar Awam Tikam Batu, di sini yang tidak jauh dari rumahnya pada Khamis minggu lalu.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja di Pulau Pinang dan ternampak seekor kucing seperti Oyen.

"Saya perhatikan kucing lain berebut ikan tetapi Oyen tengok saja.

"Kebetulan, Oyen tidak makan ikan mentah dan ketika itu, terdetik di hati saya yang kucing dilihat adalah Oyen.

"Cuma, saya tidak dapat berhenti dan turun daripada kereta ketika itu kerana perlu segera ke tempat kerja jadi simpan niat datang semula dengan berharap Oyen masih ada," katanya.

Mengenangkan Oyen, Nor Hafiqah datang semula ke pasar awam berkenaan dua hari kemudian untuk mengenal pasti sama ada ia adalah kucing peliharaannya atau sebaliknya.

SEJAK kehilangan Oyen, Nor Hafiqah menangis hampir setiap hari. FOTO ihsan pembaca.
SEJAK kehilangan Oyen, Nor Hafiqah menangis hampir setiap hari. FOTO ihsan pembaca.

"Sampai di situ, saya dekat dengan Oyen dan cuba panggil namanya namun tiada respon malah dia tidak mengiau seperti selalu.

"Saya cuba tengok betul-betul mukanya dan sah, memang Oyen cuma keadaannya tidak seperti dulu iaitu tiada kuku, kuku pecah, badan luka, mata kanan hampir buta juga selesema.

"Memang sedih melihatnya malah ketika pertama kali nampak dia di pasar lagi saya sudah menangis. Tanpa berlengah, saya terus bawa pulang ke rumah dan keluarga pun yakin itu Oyen," katanya.

Menurut Nor Hafiqah, dia bersyukur kerana jumpa semula Oyen yang dipelihara sejak kecil iaitu hampir enam tahun lalu bersama seekor lagi kucing betina diberi nama Gemok.

Katanya, ia kerana sudah puas dan merata tempat di sekitar rumah serta berhampiran dia pergi untuk mencari Oyen namun tidak ditemui.

"Ketika hilang, ramai cakap kucing saya itu sudah tiada tetapi naluri saya mengatakan Oyen masih hidup cuma tidak tahu di mana.

"Oleh kerana itu, saya teruskan mencari malah puas sudah saya pusing satu kampung, masuk ke hutan dan pergi rumah jiran untuk cari Oyen tetapi tak jumpa.

"Setiap hari juga saya menangis kerana fikirkan Oyen namun hanya mampu berdoa supaya Oyen selamat tetapi akhirnya dapat jumpa ibarat jodoh saya masih panjang dengannya," katanya.

Nor Hafiqah berkata, perkongsian video di TikTok dibuat sekadar untuk menyimpan memori berjumpa semula dengan Oyen.

"Selain jadikan kenangan, ia juga bertujuan memberi motivasi kepada mereka yang hilang haiwan peliharaan supaya tidak putus asa untuk mencari.

"Alhamdulillah, penerimaan di TikTok amat baik malah ramai beri kata semangat kepada saya di ruangan komen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 7:40 PM