Redzuan Muharam


Kulim: Biarpun insan tersayang sudah tiada, Zaiton Don masih setia malah setiap hari meluangkan masa menziarahi pusara suaminya, Mahazarnizar Abdul Rashid yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu.

Selain menitipkan doa, pusara Mahazarnizar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Kulim, di sini menjadi tempat Zaiton, 56, melepaskan rindu walaupun tahu suaminya tidak akan kembali.

Anak bongsunya, Muhammad Syamsuri Mahazarnizar, 27, yang menetap di Taman Mutiara Sungai Kob, di sini berkata, ibunya kerap ke situ seorang diri selepas waktu kerja dan hanya sesekali saja mereka pergi bersama.

(kanan) GAMBAR kenangan Muhammad Syamsuri (berdiri kanan) bersama ibu, bapa dan abangnya. (Gambar kiri) Kini hanya tinggal berdua. FOTO IHSAN MUHAMMAD SYAMSURI MAHAZARNIZAR
(kanan) GAMBAR kenangan Muhammad Syamsuri (berdiri kanan) bersama ibu, bapa dan abangnya. (Gambar kiri) Kini hanya tinggal berdua. FOTO IHSAN MUHAMMAD SYAMSURI MAHAZARNIZAR

Muhammad Syamsuri faham perasaan Zaiton malah mengakui bukan mudah berada di tempat ibunya yang bukan hanya kehilangan kehilangan suami tetapi juga anak sulung, Muhammad Syazwan Mahazarnizar pada tahun lalu.

"Abang meninggal dunia pada Februari tahun lalu akibat dijangkiti kencing tikus (leptospirosis) dan ayah pula dijemput Ilahi kerana serangan jantung pada Mei tahun yang sama.

"Saya hanya ada dua beradik jadi kini tinggal berdua dengan emak selepas abang dan ayah meninggal dunia.

"Kami sudah reda malah emak mula bekerja sebagai pembantu di restoran pada bulan lalu kerana mahu sibukkan diri namun tetap lakukan rutin hariannya iaitu menziarahi kubur ayah walau dalam keadaan penat macam mana pun sekalipun," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Syamsuri berkata, dia sendiri menyaksikan betapa akrabnya hubungan antara ibu dan bapanya dulu.

"Ayah seorang yang baik kerana melayan emak seperti permaisuri malah hubungan arwah dengan saya juga seperti rakan.

"Jadi, saya tidak hairan melihat emak masih terkesan dengan pemergian ayah kerana saya turut merasainya cuma lebih suka memendam.

"Emak rindukan arwah abang juga cuma lebih kerap ke kubur ayah kerana dekat dengan tempat kerjanya manakala abang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang," katanya.

Berhubung video yang tular , Muhammad Syamsuri berkata dia menyedarinya selepas ternampak perkongsian di TikTok milik Muhammad Taufik Zulbakri, 27.

"Difahamkan, dia (Muhammad Taufik) berada di situ kerana sedang mengecat kepuk kubur.

"Ketika itu, dia nampak emak saya menangis teresak-esak. Jadi dia dengan spontan merakam video tetapi yang menunjukkan emak menunggang motosikal untuk bergerak pulang dari tanah perkuburan.

"Taufik ada meminta maaf di ruangan komen selain menghantar kiriman mesej kepada saya di TikTok untuk bertanya lebih lanjut cerita sebenar. Saya dan emak baik saja malah kami tidak tersinggung langsung dengan perkongsiannya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 8:24 PM