TANGKAP layar video Fatin Farhana di TikTok yang mengundang sebak netizen apabila tikus Belanda, Kalbar yang popular di media sosial mati di bahunya.
TANGKAP layar video Fatin Farhana di TikTok yang mengundang sebak netizen apabila tikus Belanda, Kalbar yang popular di media sosial mati di bahunya.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Mak bersyukur sayang... sejak Kalbar datang dekat mak sampai Kalbar pergi, mak ada di sisi Kalbar. Kalbar sudah buat ramai orang gembira lagi-lagi mak, sayang".

Itu luahan Fatin Farhana Ismail, 30, pemilik tikus Belanda atau 'guinea pig', dinamakan Kalbar yang mencuri perhatian netizen di TikTok sehingga video memaparkan keletahnya yang comel tular di luar negara mati, malam tadi.

Difahamkan Kalbar tidak sihat dan Fatin Farhana juga sudah membawa haiwan kesayangannya itu ke beberapa klinik haiwan.

Dalam video dikongsinya itu, wanita berkenaan bersama Kalbar yang diletakkan di bahunya berkongsi perkembangan terkini haiwan itu bersama pengikutnya sebelum ia disedari sudah tidak bernyawa.

Farah Farhana dalam kapsyen video dikongsinya di akaun media sosial itu memaklumkan dia bersyukur kehadiran Kalbar membuatkan kehidupannya gembira, malah ia turut dirasai pengikutnya di TikTok.

Dia yang membahasakan dirinya sebagai 'mak' kepada tikus Belanda itu juga memaklumkan haiwan itu sudah dijaganya sejak hampir dua tahun lalu.

"Simpan sini untuk mak dan yang lain untuk tidak lupakan Kalbar sampai bila-bila sayang. Kalbar tetap dalam hati mak sampai hembusan nafas (terakhir) mak. Jumpa di sana Kalbar.

"Rehatlah di sana anakku sayang terima kasih teman mak selama hampir dua tahun, mak sayang Kalbar dunia dan akhirat," katanya dalam kapsyen video berkenaan.

Harian Metro sebelum ini pernah menyiarkan kisah Fatin Farhana yang berkongsi tips membela tikus Belanda di aplikasi TikTok mendapat perhatian terutama pencinta haiwan apabila selalu memuat naik video bersama haiwan itu.

Perkongsian video dan penstriman langsung Fatin Farhana berkongsi cerita, tips dan gelagat haiwan peliharaan kesayangannya itu meraih tontonan ramai sehingga mencecah 23 juta tontonan.

Kebanyakan netizen terhibur melihat gelagat haiwan peliharaannya yang dinamakan Kalbar, yang seolah-olah 'berinteraksi' bersama pengikut, selain gelagat Fatin Farhana mengajuk cara menguap haiwan peliharaannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:00 PM