Anna Jobling
Anna Jobling
Oleh Georgie Joseph


Lembaran kerjaya seni pelakon jelita, Anna Jobling, 23, cukup bergemerlapan pada 2023 menjadikan dia antara artis tempatan berjaya meraih pelbagai pencapaian membanggakan pada tahun ini.

Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman benar-benar enggan mensia-siakan peluang mencipta nama ke puncak. Dia adalah contoh artis muda yang unstoppable.

Pencapaiannya termasuk meraih tiga trofi di acara berprestij Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35. Dia dinobat BBNU Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Couple TV Popular bersama Meerqeen untuk Melur Untuk Firdaus.

Anna juga meraih trofi kategori Pelakon Wanita Popular dan Pasangan Drama terbaik pada Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023.

Tidak ketinggalan, dia semakin rancak melebarkan nama di Indonesia pula. Bahkan, dia sudah terbabit dalam beberapa produksi di sana untuk membintangi drama mahupun filem.

Anna tidak menafikan pencapaian dapat menembusi negara seberang adalah yang termanis dan memuaskan pada tahun ini. Lelahnya berulang alik ke Indonesia hilang melihat penerimaan peminat dari sana.

"Alhamdulillah 2023 adalah tahun yang amat produktif sebab dapat lunaskan beberapa misi dalam senarai impian saya. Saya dapat mengembangkan karier lakonan di Indonesia yang memang menjadi impian sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan lagi.

"Saya banyak terbabit dengan produksi Indonesia dan kerap ulang alik dari Kuala Lumpur ke seberang. Walaupun penat, tetapi itu amat berbaloi kerana karya-karya membabitkan saya mendapat tempat di hati penonton serta dapat diterima ramai.

"Jadi saya rasa penerimaan peminat dan penonton itu yang paling meninggalkan impak. Sangat tak percaya saya ada filem dan sebuah siri OTT dengan produksi sana. Selain itu, saya dapat juga membintangi beberapa naskhah yang sangat bagus di Malaysia," katanya.

Anak jati Melaka itu juga memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kerana kesabaran dan semangat kentalnya tidak menidakkan rezeki. Sebagai pelakon, dia banyak perbaiki diri menerusi setiap pengalaman ditimba.

"Sabar dan percaya kepada proses, masa kamu akan tiba jua bila tepat pada waktunya. Saya banyak belajar mengenai proses untuk menjadi seorang anak seni ketika di set penggambaran.

"Setiap watak yang saya bawa, saya akan ambil segala kebaikan watak-watak berkenaan dan praktikkannya dalam kehidupan peribadi," katanya.

Berkongsi mengenai takrifan sebuah kejayaan baginya, Anna berkata ia dapat dicapai apabila sesuatu yang diimpikan atau dibayangkan menjadi kenyataan.

"Secara peribadi, saya dapat rasakan kejayaan itu apabila Anna dapat bekerjasama dengan barisan pengarah hebat seperti Eyra Rahman, Baim Wong, Pevita Pearce dan Ruben Adrian.

"Saya juga bertuah dapat berganding bersama dengan pelakon-pelakon hebat seperti Dian P. Ramlee, Dynas Mokhtar dan Amir Ahnaf dari Malaysia, serta Asri Welas, Oka Antara, Arya Saloka dan Yasamin Jasem di Indonesia," katanya.

Semakin mencipta tapak kukuh, Anna enggan perlahan langkahnya untuk terus mengejar peluang seni di luar negara. Azamnya ringkas iaitu terus tingkatkan mutu lakonan serta bersinar di persada antarabangsa.

"Untuk berkongsi mengenai harapan dan perancangan untuk tahun 2024, saya berhasrat untuk memperbaiki lagi bakat serta mutu lakonan dan membawa watak-watak yang lebih mencabar, keluar dari zon selesa.

"Selain daripada itu, saya juga berhasrat untuk meluaskan lagi kerjaya lakonan bersama produksi antarabangsa dalam masa yang sama memperkukuhkan lagi nama di persada seni tanah air.

"Selain itu, ingin bekerja dengan ramai lagi pengarah hebat dan membuat mereka percaya akan kebolehan saya dalam menghidupkan setiap karya," katanya.

Karier lakonan bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu bermula menerusi filem Pasal Kau! arahan Adrian Teh dibintangi bersama Hairul Azreen dan Janna Nick. Kemudian disusuli filem Penunggang Agama 2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 8:00 AM