ANNA bersama Allahyarham bapanya, Abdul Rahman Jobling Abdullah.
ANNA bersama Allahyarham bapanya, Abdul Rahman Jobling Abdullah.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Bapa kepada pelakon popular, Anna Jobling iaitu Abdul Rahman Jobling Abdullah meninggal dunia, semalam.

Anna atau atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, ketika memaklumkan perkara itu berkata, dia pasti akan merindui kata-kata semangat bapanya yang menjadi penyokong nombor satunya selama ini.

"Semestinya ia memberi kesan emosi kepada saya. Saya sangat dirahmati kerana mempunyai bapa yang sentiasa menyokong saya dalam segala hal. Apa saja yang saya ingin lakukan.

"Tidak kisah apa, dia cakap asalkan saya buat yang terbaik dan menggembirakan saya. Mohon jasa baik anda semua sedekahkan al-Fatihah kepada arwah," katanya.

Anna yang kini sedang menjalani penggambaran drama Indonesia di Bali, Indonesia bagaimanapun enggan berkongsi butiran lanjut mengenai pemergian bapanya itu.

Menurutnya, dia cuba habiskan komitmennya sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

Terdahulu, Anna pernah meminta orang ramai untuk tidak mengaitkan keluarganya dalam kehidupan glamournya.

Bapanya yang pernah bekerja sebagai jurutera minyak dan gas berasal dari United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 2:43 PM