Oleh Roslen Fadzil.

Memang bukan senang untuk seseorang karyawan seni itu menghasilkan sebuah filem atau drama 'biopic'. Kajian terperinci yang kadangkala memakan masa selama bertahun-tahun mesti dilakukan oleh pengkaji, penulis skrip dan pengarah itu sendiri sebelum sesebuah karya itu dizahirkan.

Saya pernah menulis di ruangan ini sebelumnya bahawa sebuah filem biografi tidak kira dari benua mana pun sering menimbulkan kontroversi terutama dari sudut fakta dan watak-watak.

Selepas sesebuah filem itu dihasilkan, pasti ada suara-suara yang tidak berpuas hati dan melontarkan pelbagai kritikan terhadap karya itu.

Kisah Marilyn Monroe, Raja Mongkut (Anna and the King), Puteri Diana, Margaret Thatcher (Iron Lady), Aung San Suu Kyi (The Lady), The Supremes (Dreamgirls), Allahyarham Tun Abdul Razak (Tanda Putera) dan Bukit Kepong antara karya yang mendapat pelbagai komen daripada pihak terbabit secara langsung mahupun tidak dalam kisah serta perwatakannya.

Hakikatnya ia bukanlah sebuah dokumentari biasa yang memuatkan 'footages' sebenar, sebaliknya hanyalah lakonan semula watak-watak melalui proses imaginasi si penulis skrip, pelakon dan pengarah yang berpaksikan lakon layar daripada sebuah skrip.

Jadi itulah yang selalunya menerbitkan perkara-perkara yang tidak disenangi mereka yang dekat dengan watak-watak penting dalam sesebuah kisah 'biopic' itu.

Sebagai pemerhati dan peminat filem, saya meng­anggap supertele Saloma-Mencuri Guruh & Pandang Kasih itu sebagai sebuah karya yang menarik dan berkesan.

Dalam isu waris-waris Allahyarham AR Tompel menentang Astro First dan Melissa Saila terhadap penghasilan 'biopic' Saloma itu, saya ingin berkongsi pandangan sendiri.

Bagi saya, dua episod Mencuri Guruh dan Pandang Kasih itu cukup menarik dan menghiburkan. Saya yakin apa-apa berkaitan dengan Saloma, pengarahnya tentu akan membuat kajian teliti dengan sumbernya iaitu Seniwati Mariani Ismail.

Namun untuk watak-watak lain terutama AR Tompel, saya difahamkan (mengikut kenyataan AR Badul, Adlin Aman Ramlie dan seorang lagi bekas isteri Tompel iaitu Mak Mah) ia tidak tepat dan menyimpang jauh.

Terus terang saya menghormati perjuangan yang dibuat pihak Adlin ke atas 'biopic' itu kerana ia membabitkan maruah keluarga mereka seperti yang didakwa.

Namun dalam aspek lain, saya terkejut kerana Adlin dalam aspek lakonan pernah melakonkan watak yang dipetik dalam Sejarah Melayu iaitu Sultan Melaka menerusi filem dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

Selain itu Adlin juga pernah mengarahkan teater muzikal P Ramlee bersama Zahim Al-Bakri yang jelas menggambarkan Seniwati Norizan (lakonan Melissa) sebagai 'curang' dengan P Ramlee. Namun perkara itu tidak pula menjadi isu kerana mung­kin tiada siapa yang membangkitnya.

Saya akui dengan jujur, sesudah menonton 'biopic' Saloma, minat saya terhadap AR Tompel seinci pun tidak pernah berubah.

Dia berada dalam kelasnya yang tersendiri dan saya mengagumi AR tompel kerana bakatnya itu yakni bukan sebab lain. Saya dan ramai lagi di luar sana sedar zaman, sejarah hidup, budaya serta perjuangan orang-orang seni dulu-dulu tidak sama dengan zaman hari ini. Tiada manusia dan apa jua yang sempurna termasuk juga 'biopic' Saloma.

Moga isu ini akan dapat dirung­kaikan dengan bijaksana oleh mereka yang terbabit dan mencari titik kebaikan demi masa depan. [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:00 AM