Pelakon utama, Anna Jobling. FOTO Eizairi Shamsudin
Pelakon utama, Anna Jobling. FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Anna Jobling, 23, akan lebih berhati-hati menjaga diri di mana sahaja dia berada kerana baginya malang tidak berbau dan boleh berlaku pada bila-bila masa dalam pelbagai situasi yang mungkin tidak dijangka.

Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, ia mengambil kira kejadian berlaku ke atas pelakon Kamal Adli yang cedera diserang dengan cota besi di Singapura, baru-baru ini cukup memberi iktibar agar selalu berwaspada terhadap keselamatan diri.

"Saya jadi tidak berani untuk berjalan bersendirian di negara orang. Walaupun memakai pelitup muka dan topi, tapi sebenarnya orang masih lagi boleh mengenali saya. Oleh itu, memang saya kena sentiasa berhati-hati di mana saja berada, tak kira masa.

"Saya juga perlu selalu ingatkan diri, kalau benda nak berlaku anywhere, anytime, anyplace (di mana-mana, bila-bila masa dan di mana-mana tempat). Sekarang pun kalau orang nak datang serang, kita tak pernah tahu atau dapat jangka," katanya.

Anna berkata, dia sebenarnya sering berjalan bersendirian apabila berkunjung ke luar negara seperti Singapura.

Katanya, dia berasa tiada masalah berjalan seorang diri kalau hendak bersiar-siar ke Orchard Road.

"Saya kadang-kadang terlupa yang orang kenal saya. Ini kerana, saya dah terbiasa buat semua benda sendiri. Jadi, selepas apa yang berlaku kepada Kamal itu, saya akan lebih berhati-hati dan kena ingat, bahaya.

"Apapun, saya tetap okay nak ke Singapura pada bulan depan untuk jayakan karnival jualan baju raya di sana. Ini kerana, di semua tempat yang saya kunjungi memang disediakan sekuriti kerana pihak saya juga sudah buat 'request' (permintaan) awal kepada penganjur," katanya.

Menurut Anna, kemunculan selebriti yang terbabit karnival di tapak jualan amat berkesan untuk membantu sambutan pemasaran dan pembelian daripada pengunjung.

Katanya, hasil jualannya pernah 'sold out' (laris) dalam tempoh tiga hari di Singapura sebelum ini.

Anna yang kini muncul dengan drama Melur Untuk Firdaus 2 di Akasia TV3 berkata, dia amat berharap agar karya terbaharu itu mendapat sambutan baik penonton sebagaimana ia mencetuskan fenomena pada tahun lalu.

Baru-baru ini, Anna juga dinobatkan sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Popular dalam acara kemuncak Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 (TADS 2023) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 12:53 PM