FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Fardy Bungga


NIAT tiga sekeluarga mencari paku-pakis di tepi Sungai Malalo, Tenom terbantut selepas terserempak dengan mayat lelaki dalam keadaan bogel di tebing sungai itu, petang kelmarin.

Difahamkan, keluarga terbabit menemui mayat reput itu yang terdapat kesan luka dipercayai akibat dimakan binatang liar pada 4 petang sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tenom Mohd Firdaus Abdullah berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis dikerah ke lokasi penemuan mayat berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Katanya, mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan mereput dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

“Hasil siasatan, mangsa dikenal pasti sebagai Chew Choon Hee, 55, dan dia dipercayai mengalami masalah mental akibat kesan penagihan dadah.

“Pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa mendapati tiada kesan pergelutan atau jenayah, namun terdapat lubang dipercayai akibat dimakan binatang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tenom untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Soal siasat terhadap beberapa penduduk mendapati kali terakhir mangsa dilihat adalah tiga hari lalu. Mangsa dikatakan sering berjalan sendirian dalam keadaan tidak tentu arah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:59 PM