Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dengan kes penemuan mayat akauntan di kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru, di sini, 11 Disember lalu.

Mayat lelaki tempatan itu ditemukan kira-kira 6 pagi dalam keadaan bogel dan terdapat beberapa kesan kecederaan serta lebam di bahagian badannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek terbabit.

"Kita sedang memburu suspek berkenaan, manakala dua lagi suspek akan tamat tempoh reman hari ini dan kami akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya (sambung reman atau tidak).

"Kita akan lihat apa keputusannya dan akan rujuk TPR dan minta pandangan beliau," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang lelaki ditemukan mati, disyaki dibunuh, di tepi jalan di kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid (tengah) berucap  pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid (tengah) berucap pada perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin mengesahkan identiti mangsa sebagai seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta.

Susulan itu, dua rakan mangsa berusia 25 dan 35 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 9:58 AM