KELANTAN FC pasukan pertama gagal dapatkan lesen kebangsaan. FOTO Twitter
KELANTAN FC pasukan pertama gagal dapatkan lesen kebangsaan. FOTO Twitter
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC muncul pasukan pertama musim depan yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi First Instance Body (FIB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dan keputusan berkenaan pastinya memberi tamparan hebat buat seluruh rakyat Kelantan amnya dan peminat skuad The Red Warriors (TWR) khususnya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana TRW gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Walaupun Kelantan FC mendakwa sudah menjelaskan tunggakan gaji dengan menyerahkan bukti pembayaran, namun hasil semakan FIB bersama bantuan Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), mendapati perkara sebaliknya yang berlaku.

"Namun begitu, setelah semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab.

"Pihak Kelantan FC telah menghubungi MFL dan menghantar cek yang baharu berserta melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai yang terlibat.

"Kelantan FC kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk bulan Ogos 2023 kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan FC.

"MFL meminta Kelantan FC untuk menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk kesemua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terlibat bagi semakan pihak FIB.

"Setelah menerima dokumen daripada Kelantan FC pada 18 Disember 2023, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap," katanya.

Ujarnya lagi, bagi kriteria kedua, TRW gagal menjelaskan semua lima kes Fifa selepas pihaknya tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

"Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.

"Setelah gagal menyelesaikan Langkah Pertama dan Langkah Kedua pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, maka Kelantan FC gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024 – 2025," katanya.

Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024 sebelum jam 5:00 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:54 PM