BARISAN pemain Kelantan FC ketika bertemu Sabah FC. FOTO SABAH FOOTBALL CLUB
BARISAN pemain Kelantan FC ketika bertemu Sabah FC. FOTO SABAH FOOTBALL CLUB
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC akan berusaha memenuhi tuntutan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) First Instance Body (FIB) yang mahu kelab itu menyelesaikan masalah berbangkit sebelum hujung bulan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid, pihaknya menerima keputusan FIB itu dan akan cuba menyelesaikan permintaan badan bebas itu sehingga 30 November ini.

Bagaimanapun katanya, untuk tujuan menyerahkan bukti persetujuan bersama pemain dan pegawai skuad The Red Warriors (TRW) kemungkinan tidak akan berlaku kerana rata-rata pemain sudah menutup pintu rundingan dengan pihak pengurusan.

Justeru jelasnya, TRW akan menurut apa-apa arahan FIB dalam tempoh ini termasuk mungkin diberikan penstrukturan penjadualan pembayaran tunggakan kepada pemain pasukan itu.

"Kita akur dan kita nak lengkapkan apa yang diperlukan oleh FIB. Kita adalah satu-satunya pasukan yang ada setengah pemain tak terima persetujuan pembayaran, jadi kita terpaksa alami masalah ini.

"Bagi pasukan lain, pemain mereka terima persetujuan bersama tapi kita tidak dapat. Itu sebab kita sangkut.

"Rundingan sebenarnya sudah ditutup oleh mereka (pemain). Kalau kita merayu kepada pemain (menerima persetujuan bersama), adakah itu yang diinginkan FIB.

"Kalau kata hukuman itu perlu kembali kepada pemain, baru kita cuba lakukan. Bagi kita kalau itu yang diputuskan FIB kita akan ikut sahaja," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, akhbar ini melaporkan Kelantan FC diberikan tempoh sehingga 30 November ini bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain yang masih sangkut bagi bulan Julai dan Ogos lalu.

Sekiranya gagal, TRW boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super musim depan apabila kelab itu tidak akan diberikan Lesen Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 8:31 PM