PENIAGA burger simpan pelbagai koleksi kumpulan rock XPDC sejak zaman kanak-kanak.
PENIAGA burger simpan pelbagai koleksi kumpulan rock XPDC sejak zaman kanak-kanak.
Ahmad Ismail


LEBIH 30 koleksi pelbagai poster, kemeja-T, majalah, kaset dan cakera padat (CD) lagu rock Melayu dihasilkan kumpulan rock legenda, XPDC menjadi kenangan dalam simpanan peribadi seorang peniaga burger, Mohd Khairwan Zakaria.

Mohd Khairwan, 32, berkata minat mendalam terhadap irama rock mencetuskan idea buatnya mengumpul koleksi nostalgia kumpulan rock legenda itu.

"Ketika demam rock melanda negara, saya meniti zaman kanak-kanak pada usia 12 tahun. Secara tidak langsung, ini memberi pengaruh besar kepada kehidupan saya hingga dewasa.

"Apatah lagi, ketika itu, sumber hiburan tidak banyak pilihan seperti sekarang. Jadi, kemunculan artis genre rock dengan aliran muzik baharu mencetuskan fenomena sangat luar biasa.

"Kebetulan pula, keluarga ada memiliki 'walkman' dan 'discman' (pemain CD mudah alih), jadi saya kerap ulang kali mendengar kaset dan CD kumpulan XPDC.

"Ini membolehkan saya mendekati dan mengenali muzik rock dengan lebih terperinci dan dekat. Secara tidak langsung, ia menambahkan lagi minat saya terhadap muzik rock terutama vokal serak basah arwah Abang Mael (Syed Ismail Syed Ibrahim)," katanya ketika ditemui di gerai rock burgernya di Taman Segamat Baru, Segamat, baru-baru ini.

Tambah Mohd Khairwan, produk rakaman dan persembahan konsert yang dihasilkan Mael menjadi pilihannya malah menyifatkan arwah mempunyai aura tersendiri.

MOHD Khairwan memiliki lebih 30 koleksi poster, kemeja-T, majalah, kaset dan cakera padat (CD) kumpulan XPDC.
MOHD Khairwan memiliki lebih 30 koleksi poster, kemeja-T, majalah, kaset dan cakera padat (CD) kumpulan XPDC.

ANTARA koleksi CD XPDC milik Mohd Khairwan.
ANTARA koleksi CD XPDC milik Mohd Khairwan.

Sebagai peminat tegar, Mohd Khairwan sebolehnya cuba memiliki semua album dihasilkan Allahyarham Mael, malah minatnya terhadap irama itu mendorong dirinya menamakan gerai burgernya, Rock Burger sejak 2018.

"Saya membeli rakaman original (tulen) walaupun ketika itu, album tiruan atau sekarang disebut cetak rompak sudah mula bertapak seolah cendawan tumbuh.

"Saya mahu mendengar album itu berulang kali, jika saya beli produk tiruan, cepat rosak.

"Disebabkan produk asli, saya simpan dengan baik. Saya sayang untuk beri kepada orang lain. Lama-kelamaan, semakin banyak hingga mencetuskan idea untuk menjadikan koleksi," kata Mohd Khairwan yang turut mendapat galakan dan sokongan keluarganya.

Beliau yang menamakan gerai burgernya, Rock Burger sejak 2018, berkata pemergian Allahyarham Mael sebagai seorang legenda rock yang tidak dapat diganti lagi.

Khamis lalu, vokalis kumpulan XPDC, Mael, 55, menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, akibat sesak nafas, kira-kira jam 8.41 malam.

Jenazah Allahyarham Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, pagi, Jumaat lalu.

XPDC adalah kumpulan rock popular era 1980 hingga 1990-an dan sering mementaskan konsert di tapak pesta seluruh negara sehingga digelar 'Raja Funfair'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 6:49 AM