WARUNG burger menggunakan seni bina tradisional Melayu.
WARUNG burger menggunakan seni bina tradisional Melayu.
Ihsan Noorzali


KEUNIKAN warung menjual burger yang menggunakan seni bina tradisional Melayu di Taman Teja, Changlun, Kedah menarik perhatian pengunjung.

Pemiliknya, Ridzuan Che Man berkata, warung yang dinamakan sebagai Teja Burger adalah garapan ideanya sendiri untuk mencipta kelainan.

Katanya, reka bentuk warungnya mementingkan aspek estetika seni bina Melayu untuk menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang.

"Saya memilih bumbung atap rumbia yang dibeli daripada seorang penduduk untuk menampakkan ciri-ciri kemelayuan.

"Penggunaan lampu pelbagai warna membuatkan ia kelihatan lebih menarik pada waktu malam," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya warung burger lebih cenderung menggunakan zink atau besi supaya lebih tahan lama.

"Bagaimanapun, saya mengambil pendekatan berbeza dengan menggunakan atap rumbia yang lebih menarik dan tidak panas," katanya.

Selain itu, dia meminati dekorasi sejak kecil, turut menghias warung burgernya dengan tumbuhan hidup.

"Biarpun ruang agak terhadap, landskap penting bukan sahaja untuk mencantikkan persekitaran, malah dapat memberi ketenangan dan kesegaran kepada saya serta pelanggan," katanya.

RIDZUAN menyiapkan burger pelanggan.
RIDZUAN menyiapkan burger pelanggan.

Katanya, kedudukan warung yang terletak di hadapan rumahnya memudahkannya untuk proses dekorasi apabila mempunyai masa terluang.

"Selain menghias sendiri halaman rumah, saya juga mahukan warung burger yang diusahakan sejak dua tahun lalu ini juga menarik dengan menggunakan kreativiti sendiri ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:47 AM