Datuk dan cucunya yang ditemui terapung dalam kolam berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas. FOTO IHSAN Pembaca
Datuk dan cucunya yang ditemui terapung dalam kolam berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang datuk berusia 78 tahun dan cucu lelakinya berusia setahun tujuh bulan ditemui lemas di kolam berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu yang memaklumkan penemuan dua mayat termasuk seorang kanak-kanak berhampiran pagar restoran berkenaan pada jam 7.20 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tikam Batu tiba di lokasi kejadian pada jam 7.28 malam dan mendapati kedua mangsa ditemui terapung dalam kolam yang ditinggalkan sedalam satu meter.

"Mangsa dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

"Berdasarkan maklumat saksi kejadian, dia melihat orang ramai berkumpul di kawasan kolam lama itu sebelum mendapati dua mangsa itu sebelum membuat panggilan MERS 999 untuk bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, hasil temubual dengan anak mangsa yang juga bapa kanak-kanak itu berkata, bapanya selalu membawa anaknya bersiar-siar setiap petang selepas mengambil kanak-kanak itu dari ibunya yang bekerja di kedai makan berhampiran kawasan itu.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu kemudian keluar mencari kedua mangsa selepas jam 7 malam dan sewaktu melalui kawasan kolam itu dia ternampak orang ramai berkumpul di situ.

"Ketika itu dia ternampak bapa serta anaknya dalam keadaan terapung dalam kolam berkenaan.

"Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Mayat kedua-duanya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk urusan bedah siasat," katanya.

Zaidy berkata, kedua-dua mangsa menetap di alamat Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 10:23 AM